MARAN: Kedatangan Ramadan kali ini bertukar suram buat sebuah keluarga di Felda Jengka 11 di sini, apabila dua insan tersayang pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
Selasa lalu, anak lelaki bongsu keluarga itu, Muhammad Firdaus Ramli, 17, meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Jengka setelah motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan di Jalan Maran-Jerantut.
Ibu remaja berkenaan, Shariyati Ramli, 46, yang terkejut dengan kejadian menimpa anak lelakinya mengadu lemah badan sebelum rebah ketika mengiringi jenazah ke Hospital Jengka.
Selepas itu, wanita tersebut dibawa ke unit kecemasan hospital berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 2.30 petang semalam.
Abang kepada Shariyati, Mat Sharif Ramli, 50, berkata, dia melihat adiknya berada dalam keadaan terkejut dan terlalu berduka sebelum rebah di Hospital Jengka ekoran kemalangan menimpa Muhammad Firdaus.
“Arwah adik saya memang terlalu menyayangi anak bongsunya itu. Muhammad Firdaus bekerja keras untuk membeli motosikal menggunakan titiknya peluh sendiri sejak sebulan lalu, tetapi tak sangka umurnya tidak panjang.
“Lebih menyayat hati, Shariyati yang baru dua tahun berkahwin semula tidak dapat menerima kehilangan anaknya dan akhirnya menyusul pergi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sementara itu, ibu Shariyati, Haridah Mt Ali, 70, reda dengan dengan kehilangan anak dan cucunya serentak pada bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Shariyati anak keenam daripada 13 beradik. Pada hari pertama Ramadan, dia dan Muhammad Firdaus pulang ke Felda Jengka 11 untuk berbuka bersama saya dan meminta saya masakkan laksam kegemarannya.
“Selepas solat Maghrib berjemaah, dia memeluk erat dan mencium tangan saya sambil menangis. Tak sangka itu pertemuan terakhir kami,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 11 semalam.










