PUTRAJAYA: Jemaah Menteri menjunjung kasih titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya semua pihak tidak berterusan membahaskan soal Titah Adendum.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dinyatakan Jemaah Menteri menerusi mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjunjung kasih titah Sultan Pahang itu.
“Kita semua sendiri maklum Tuanku telah bertitah supaya isu Titah Adendum yang sekarang di bawah proses undang-undang perlu dihormati.
“Tuanku juga bertitah dan meminta agar semua pihak tidak berterusan membahaskan soal Titah Adendum ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, pelaksanaan dan perkara yang berkaitan dengan proses dendum akan diteruskan oleh kerajaan.
Kelmarin, Al-Sultan Abdullah menitahkan semua pihak supaya menghormati proses dan undang-undang yang ditetapkan berkaitan Titah Adendum.
Titah baginda, Titah Adendum adalah perkara yang berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.
“Oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses dan undang-undang yang ditetapkan serta tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik,” titah baginda ketika berkenan berangkat pada Majlis Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan, Pahang.-UTUSAN










