PETALING JAYA: Kecelaruan yang berlaku hari ini dalam industri beras putih tempatan (BPT) didakwa berpunca daripada harga siling RM2.60 sekilogram yang ditetapkan sejak 17 tahun lalu tidak pernah disemak.
Penetapan harga siling itu menyebabkan pasarannya tidak terbuka sedangkan kos pengeluaran padi meningkat lebih sekali ganda berbanding 2008.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, punca utama industri BPT tidak lagi harmoni pada masa kini adalah kerana harga ditetapkan sudah tidak relevan.
Katanya, ketika harga RM2.60 sekilogram ditetapkan, harga belian padi oleh pengilang adalah sekitar RM900 ke RM1,100 per tan.
“Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, harga belian padi sudah dinaikkan dan terkini ditetapkan pada RM1,500 per tan, namun harga BPT di pasaran masih tidak berubah iaitu RM2.60 sekilogram.
“Apabila kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga BPT pada kadar RM2.60 sekilogram, ia menimbulkan kecelaruan dalam industri ini sehinggakan bekalannya terjejas.
“Ini juga adalah punca isu beras tempatan dicampur ke dalam beras import yang sedang berlaku pada masa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengesahkan, kira-kira 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel dicampurkan dengan BPT.
Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd. Shahril Firdaus Ab.Razak berkata, kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.
Abdul Rashid berkata, Pesawah tidak menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya melihat sedemikian kerana terlibat secara langsung dengan pengilang, pemborong dan peruncit.
Katanya, penetapan harga RM2.60 sekilogram itu juga dilihat sebagai mengongkong industri beras sehingga memaksa sesetengah pihak menggunakan kelompongan yang ada dalam undang-undang untuk mengaut keuntungan.
“Tiada kebebasan diberikan dalam industri ini yang menyebabkan pemain industri tidak boleh menentukan harga berdasarkan kos dikeluarkan.
“Maka, berlakulah isu mencampurkan BPT ke dalam kampit beras import seterusnya mengakibatkan bekalan BPT tiada di pasaran,” katanya.
Beliau berkata, persoalan besar yang timbul adalah mengapa harga siling BPT dikawal sehinggakan lebih murah berbanding Thailand dan Indonesia, namun kos pengeluaran meningkat berganda.
“Jadi kerajaan sebenarnya perlu menyemak semula harga siling BPT supaya isu campur beras dan bekalan tiada di pasaran dapat diselesaikan dengan segera,” katanya. – UTUSAN