SEREMBAN: Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Batu 10, Labu di sini tahun ini pasti lebih ceria dan meriah apabila sebuah gerbang khas dibina sekumpulan anak muda di kampung berkenaan, sejak pertengahan Ramadan lalu.
Sekali pandang, ia tidak ubah seperti dekorasi di pasar raya mewah, namun binaan gerbang Aidilfitri itu sememangnya 100 peratus hasil buatan tangan serta kreativiti anak jati Labu.
Wakil penduduk, Mohd. Faizal Tajuddin berkata, gerbang bersaiz 60 kaki panjang dan 16 kaki tinggi itu siap dibina sepenuhnya dalam tempoh lapan hari sahaja bermula 15 Ramadan.
Katanya, binaan tersebut dihasilkan melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM3,000 menerusi hasil sumbangan anak-anak muda kampung.
“Tujuan gerbang ini dibina adalah untuk mengisi aktiviti di bulan Ramadan, meningkatkan semangat anak-anak perantau pulang ke kampung halaman selain memberi peluang kepada orang kampung bergambar seisi keluarga di pagi raya.
“Selain itu ia turut memperkenalkan Kampung Batu 10, Labu kepada orang yang menggunakan jalan utama kampung kami sebagai laluan alternatif ketika trafik sesak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Katanya, pembinaan gerbang berunsurkan seni bina masjid beserta limpahan cahaya itu adalah hasil perkongsikan kreativiti dan kepakaran anak-anak muda kampung tersebut.
“Setiap daripada kami ada bahagian atau kepakaran masing-masing. Kami bahagikan tugasan pada setiap malam, di mana anak-anak muda yang berkelapangan akan berkumpul selepas solat sunat tarawih dan mengambil masa sehingga pukul 2 pagi untuk membina gerbang Aidilfitri ini.
“Dua hingga tiga orang dikhususkan melakukan kerja-kerja kayu, ada bahagian reka bentuk grafik untuk menghasilkan ilustrasi dalam bentuk digital dan juga ada yang dipertanggungjawabkan dalam bidang elektrikal.
“Jadi setiap dari kami memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan misi menyiapkan gerbang Aidilfitri ini,” katanya.
Ujarnya, Kampung Batu 10 pasti akan menjadi tumpuan orang ramai pada malam raya kerana acara pertunjukan bunga api terpanjang sehingga 300 meter turut diadakan. – UTUSAN