PETALING JAYA: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dikerahkan ke Myanmar menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01) kini berdepan cabaran keselamatan yang serius.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, pergerakan pasukan SMART ke lokasi terjejas dikawal ketat oleh pasukan keselamatan tempatan.
Malah, katanya, pasukan SMART terpaksa melalui sekurang-kurangnya 10 pos pemeriksaan mencerminkan tahap risiko keselamatan yang tinggi di kawasan ini.
“Cabaran keselamatan lain yang turut dihadapi adalah beberapa kawasan yang dilalui pasukan SMART masih bergolak dan dilaporkan terus menjadi sasaran serangan bom oleh tentera Myanmar.
“Penduduk tempatan turut memberi amaran mengenai kewujudan periuk api di sekitar wilayah Sagaing, terutama di kawasan kuil.
“Risiko ini meningkatkan tahap berhati-hati pasukan penyelamat dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, gegaran susulan antara 3.0 hingga 5.1 magnitud yang berlaku turut menambahkan risiko terhadap struktur bangunan yang sudah rosak akibat gempa bumi utama.
“Keadaan itu meningkatkan kemungkinan runtuhan susulan yang boleh membahayakan anggota penyelamat,” katanya
Menurutnya, pasukan operasi dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu Alpha 1 dan Alpha 2 bagi memastikan operasi SAR dapat dijalankan dengan lebih efektif di lapangan.
Katanya, fokus operasi kini bagi menyelamatkan mangsa di rumah ibadat, sekolah dan hospital yang terjejas teruk akibat bencana berkenaan selain dipercayai kira-kira 20 mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Dalam usaha memastikan operasi berjalan lancar, katanya, pasukan MAS-01 menghadapi cabaran logistik termasuk keperluan bekalan minyak petrol untuk kenderaan dan peralatan seperti generator elektrik.
“Bagaimanapun, Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil)
membantu mengenal pasti stesen pam yang mampu membekalkan petrol kepada pasukan penyelamat,” katanya.
Tambahnya, cuaca panas melampau antara 38 darjah celsius hingga 41 darjah celcius menyukarkan operasi SAR terutamanya pada waktu tengah hari.
“Selain itu, tempoh kritikal 72 jam sudah berlalu, menyebabkan kemungkinan untuk menemui mangsa yang masih hidup semakin menurun,” katanya.
Di samping itu, kekurangan bekalan asas bagi mangsa yang terselamat turut meningkatkan faktor ancaman di kawasan terjejas. – UTUSAN