PETALING JAYA: Sudah tiba masanya organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenakan tekanan lebih keras terhadap Israel, termasuk melalui sekatan ekonomi.
Tindakan lain termasuk mengenakan sekatan ketenteraan dan tindakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Eksekutif Strategik Cinta Gaza Malaysia (CGM), Haikal Zulkefli berkata, dunia tidak boleh sekadar mengeluarkan kenyataan kecaman terhadap Israel.
“Kesyahidan petugas kemanusiaan di Gaza adalah bukti nyata bahawa Israel tidak lagi peduli terhadap undang-undang antarabangsa.
“Mereka sanggup membunuh sesiapa sahaja demi memastikan matlamat penjajahan mereka tercapai. Rejim Zionis harus dikenakan tindakan lebih tegas di peringkat global,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Setakat ini, lebih 700 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 1,200 cedera dalam serangan udara mengejut oleh Israel di Gaza sejak Selasa lalu, sekali gus melanggar gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada Januari.
Rejim Zionis melancarkan serangan udara bertali arus ke Gaza ketika umat Islam berpuasa dan bertarawih. Serangan dilancarkan selepas Israel mencabuli gencatan senjata sementara yang dipersetujui.
Haikal berkata, OIC dan PBB tidak boleh bersikap pasif dan segera mengambil langkah lebih berani bagi menghentikan kezaliman Israel.
“Israel hanya akan terus bertindak kejam jika dunia membiarkan mereka bebas daripada sebarang tindakan.
“PBB dan OIC perlu berhenti menjadi sekadar pemerhati dan mula mengambil langkah seperti menggantung hubungan diplomatik dengan Israel, mengenakan sekatan perdagangan serta menekan negara-negara sekutu Israel agar menghentikan sokongan ketenteraan dan ekonomi kepada tentera Zionis,” katannya.
Haikal berkata, Israel bukan sahaja menekan rakyat Palestin dengan kekerasan ketenteraan, malah menyekat mereka secara ekonomi dengan menghalang kemasukan barangan asas ke Gaza, terutama dalam bulan Ramadan. – UTUSAN











