Dua beradik melecur akibat mercun bola

Dua beradik melecur akibat mercun bola

KEADAAN salah seorang mangsa yang parah akibat bermain mercun bola di Kampung Baru, Kuala Nerang dan kini dirawat di PICU HSB, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Dua beradik lelaki berusia empat dan tujuh tahun cedera dipercayai akibat bermain mercun bola dalam kejadian di Kampung Baru, Kuala Nerang di sini malam tadi. 

Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, kedua-dua mangsa melecur di beberapa bahagian badan dengan kanak-kanak berusia tujuh tahun dilaporkan parah dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar. 

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 1.32 pagi tadi setelah pegawai perubatan HSB menerima dua mangsa yang dikejarkan ke Zon Merah hospital itu.

“Semasa kejadian, kedua-dua ibu bapa kanak kanak malang itu menyatakan tidak menyedari anak mereka yang bermain mercun di luar rumah yang mana mercun dipercayai jenis bola dikatakan diperoleh dari rakan sekampung. 

“Temubual ke atas ibu mereka menyatakan hanya menyedari kejadian setelah terdengar bunyi letupan di luar rumah, sebelum dia bergegas keluar dan mendapati kedua-dua anaknya cedera. Suaminya pula tiada di rumah semasa kejadian,” katanya di sini, hari ini.

Abdull Razak berkata, siasatan kini dilakukan di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Katanya, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun bagi kesalahan memiliki bahan letupan.

“Manakala denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan menyebabkan atau membiarkan kanak-kanak berada dalam situasi yang boleh menyebabkan kecederaan atau bahaya fizikal,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN