KUALA LUMPUR: Pekongsian video seorang pempengaruh juga usahawan Anes Ayunie Osman, 23, yang memuat naik kandungan membeli koleksi barangan kemas dengan anggaran berat sekitar 15 kilogram (kg) menarik perhatian ramai.
Video yang dimuat naik Anes Ayunie atau mesra dengan panggilan Ayunie itu menuai kecaman netizen yang menyifatkan dirinya sengaja menunjuk-nunjuk dan riak dalam membeli emas dalam kuantiti banyak.
Menerusi video itu, Ayunie menyatakan keinginannya untuk membeli emas dalam kuantiti besar berikutan kebimbangannya terhadap kenaikan harga emas pada masa akan datang.
“Saya nak emas dalam 15kg kerana saya takut harga emas naik lepas hari ni. Jadi nak ‘lock’ terus 15kg,” katanya dalam video yang tular itu.
Namun, dalam perkongsian itu, hanya 6kg emas sahaja yang dapat dibeli, manakala bakinya akan diperoleh pada keesokan harinya.
Anggaran jumlah bayaran bagi pembelian emas seberat 6kg berkenaan adalah sekitar RM2.5 juta.
Ayunie juga dilihat teruja memilih beberapa barangan kemas lain semasa proses pembelian berlangsung sekali gus menggambarkan keyakinannya terhadap pelaburan sedemikian sebagai bekalan masa hadapan.
Sebelum itu, pempengaruh tersebut meluahkan hasrat membuat pembelian emas berkenaan secara peribadi dan tertutup.-UTUSAN