Dasar pemerkasaan ekonomi bumiputera perlu hala tuju jelas

Dasar pemerkasaan ekonomi bumiputera perlu hala tuju jelas

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memastikan dasar pemerkasaan ekonomi bumiputera dilaksanakan dengan hala tuju yang jelas supaya tidak disalah tafsir sebagai usaha mengetepikan kaum lain.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad berkata, langkah itu penting bagi menjamin keseimbangan ekonomi dan mengelakkan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat.

Katanya, peruntukan dalam Perlembagaan mengenai hak istimewa bumiputera dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara bukan bermaksud menafikan hak kaum lain.

“Kita perlu melihat fakta yang ada. Daripada 10 individu terkaya di Malaysia, lapan terdiri daripada kaum Cina manakala masing-masing satu daripada kaum India dan Melayu.

“Bidang perniagaan dan profesional juga dikuasai oleh bukan bumiputera maka tuduhan bahawa dasar pemerkasaan ini menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi adalah tidak berasas.

“Sebaliknya, dasar ini bertujuan membina keupayaan bumiputera supaya dapat bersaing secara adil dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Mingguan Malaysia melaporkan pemerkasaan ekonomi bumiputera serta agenda Melayu dan Islam perlu dibangkitkan semula tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini.

Mengulas lanjut, dasar berkenaan tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa sebaliknya memerlukan perancangan yang teliti dan strategi yang berkesan.

Katanya, pelaksanaan yang sistematik akan memastikan bumiputera memperoleh manfaat tanpa menjejaskan kepentingan dan hak kaum lain.

“Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah menyediakan garis panduan yang jelas dalam membangunkan sosioekonomi bumiputera dan masyarakat Melayu.

“Selain itu, kerajaan juga melaksanakan pelbagai dasar lain seperti Dasar Perpaduan Negara, Dasar Sosial Negara serta Dasar Pembangunan Wanita yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Dasar peralihan tenaga baharu dan Dasar Semikonduktor Negara turut membuktikan kerajaan memberi perhatian kepada kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Haji Md. Razak berkata, kerajaan perlu mengukuhkan naratif bahawa pemerkasaan bumiputera adalah sebahagian daripada agenda pembangunan nasional yang inklusif.

Katanya, komunikasi yang jelas menerusi dialog antara komuniti dan kerjasama sektor swasta dapat mengurangkan tanggapan negatif terhadap dasar tersebut.

“Perkongsian kejayaan program seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang memberi kesan positif kepada ekonomi negara boleh membantu meredakan ketegangan kaum.

“Dasar ini juga perlu digubal dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk bukan bumiputera bagi memastikan ia tidak bersifat berat sebelah.

“Bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam industri strategik wajar diberi keutamaan bagi mengukuhkan keseimbangan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya