PETALING JAYA: Seorang lagi penyandang jawatan Naib Presiden PKR mengumumkan keputusan untuk mempertahankan jawatannya untuk pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, beliau memohon sokongan seluruh anggota parti untuk bersama-samanya mengukuhkan PKR demi masa depan Malaysia yang lebih baik.
“Saya sendiri telah melalui jatuh bangun parti ini. Kita pernah berada di titik yang terendah, kita pernah dikhianati. Namun saya tetap setia bersama parti kerana saya yakin PKR adalah parti masa depan.
“Dengan rendah hati saya, Chang Lih Kang menawarkan diri untuk terus berkhidmat dan mempertahankan jawatan naib presiden dalam pemilihan parti kali ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Lih Kang berkata, perjuangan reformasi bukan mudah kerana ia bermula di jalanan beserta tekad ke arah sistem lebih adil dan telus.
“Kita yakinkan rakyat bahawa PKR mampu memimpin negara, bukan sahaja dengan semangat, tetapi dengan prinsip dan keberanian moral.
“Kita perlukan pemimpin yang bukan sekadar menumpang kejayaan, tetapi yang telah membuktikan komitmen sejak awal terhadap perjuangan reformasi,” katanya. – UTUSAN