KANGAR: Inisiatif butik komuniti sukarelawan kebajikan negeri Perlis menawarkan pakaian raya percuma kepada golongan memerlukan mendapat sambutan amat memberangsangkan sekali gus membantu meringankan beban mereka meraikan lebaran minggu depan.
Pakaian raya berkualiti seperti baju Melayu, kurung, pakaian kanak-kanak dan pelbagai lagi itu disumbangkan ramai pihak yang prihatin dengan nasib golongan memerlukan.
Pengerusi Perlis Volunteer Action Community (PVAC), Mohd Effendey Harun berkata, pemberian pakaian raya percuma itu diadakan di butik dikendalikan PVAC di Repoh semalam dari pukul 9 pagi hingga 2 petang.
Katanya, butik komuniti yang berterusan memberikan pakaian percuma itu menerima sumbangan pakaian baharu dan terpakai dalam keadaan baik daripada pelbagai pihak.
Ujarnya, butik itu menawarkan pelbagai jenis pakaian kanak-kanak hingga dewasa termasuk aksesori yang boleh dipilih sendiri selain mainan untuk kanak-kanak.
“Kita memastikan semua pakaian yang diterima itu dikelaskan mengikut saiz, dibersihkan dan dibungkus semula untuk menjamin kebersihan,” katanya di sini semalam.
Kata Mohd. Effendey, pihaknya juga tidak menerima sumbangan pakaian lusuh dan tidak sempurna bagi memastikan golongan memerlukan itu memperoleh pakaian dalam keadaan masih elok untuk dipakai.
“Program pemberian pakaian percuma kepada mereka yang memerlukan ini sentiasa diteruskan sepanjang tahun bagi membantu khususnya golongan asnaf Perlis. Untuk raya, ia bermula tahun lalu.
“Terima kasih kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang menyediakan premis untuk PVAC beroperasi.
“Orang ramai juga dialu-alukan menyumbang pakaian baharu atau terpakai kepada butik komuniti berkenaan agar lebih ramai akan mendapat manfaat daripadanya. Mereka boleh menghubungi talian 019-4069955 untuk janji temu bagi penghantaran pakaian,” katanya. – UTUSAN










