MELAKA: Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa bekalan air mencukupi walaupun paras Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah dekat sini menunjukkan penurunan akibat kekurangan hujan, sejak sebulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, Empangan Durian Tunggal berada pada paras 87.8 peratus dan diunjurkan kepada 73.3 peratus pada Aidilfitri, manakala Empangan Jus dan Asahan di Jasin masih penuh pada kadar 95.8 peratus dan 100 peratus.
Menurutnya, Melaka juga sedang memohon kelulusan untuk meningkatkan pengepaman air daripada 160 juta liter sehari kepada 220 juta liter sehari dari Sungai Muar, Johor bagi menampung keperluan rakyat.
“Bagi jangka panjang, beberapa projek sedang dibangunkan termasuk Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih dan Loji Air Jernih, dijangka beroperasi pada 2027. Langkah jangka pendek turut diambil dengan mengepam air dari kolam alternatif serta pelepasan air dari Empangan Jus.
“Jumlah kapasiti loji rawatan air di Melaka kini adalah 736.4 juta liter sehari, lebih tinggi berbanding permintaan harian sebanyak 720 juta liter sehari, memastikan keperluan domestik dan industri terus dipenuhi,” katanya ketika ditemui.
Tambah Hameed Mytheen, kerajaan negeri juga sedang membangunkan Projek Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal yang berfungsi sebagai kolam dwi-fungsi untuk tebatan banjir dan sumber air tambahan bagi Melaka.
“TAPS Melaka dijadualkan memulakan fasa pembinaan pada tahun ini, yang akan menambah sumber bekalan air mentah bagi negeri ini. Kerajaan negeri juga menasihatkan agar tidak mudah percaya dengan berita tidak sahih mengenai bekalan air di media sosial.
“Kerajaan negeri juga memastikan usaha pengurusan air lebih cekap dengan mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dan meningkatkan kecekapan infrastruktur bekalan air bagi mengelakkan pembaziran sumber.-UTUSAN