SEJAK terpilih sebagai Ahli Parlimen Balik Pulau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan mengekalkan kedudukan dalam PRU-15, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, 60, terus komited membawa pembangunan seimbang ke kawasan Parlimen Balik Pulau yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya.
Dengan pengalaman sebagai bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar melihat Balik Pulau sebagai ‘Ying dan Yang’ yang memberi keseimbangan kepada daerah-daerah lain di Pulau Pinang yang lebih pesat membangun.
Muhammad Bakhtiar berkata, sepanjang sejak menjadi Ahli Parlimen pada 2018 sehingga hari ini, beliau komited membawa perubahan kepada kawasan tersebut melalui tiga teras utama iaitu pendidikan, kesihatan dan ekopelancongan.
Beliau juga mahu memastikan pembangunan Balik Pulau kekal seimbang antara kemajuan moden dan pemeliharaan alam semula jadi selain menekankan kepentingan pendidikan dalam memperkasa masyarakat di kawasan Parlimen itu.
“Saya telah memperkenalkan beberapa program, termasuk Akademi Bakhtiar, yang memberi peluang kepada pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah untuk mendapatkan bimbingan akademik dan pembangunan diri agar mereka boleh berdepan dengan dunia luar yang penuh dengan cabaran.
“Saya mahu anak-anak Balik Pulau mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan bimbingan yang boleh membawa mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Bakhtiar berkata, beliau juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif di sekolah, termasuk menyediakan makmal pembelajaran canggih serta memperbaiki kemudahan peperiksaan bagi memastikan keselesaan pelajar.
“Separuh daripada peruntukan Parlimen yang saya peroleh adalah untuk pembangunan pendidikan di Balik Pulau. Ini kerana saya mahu memastikan setiap pelajar mendapat peluang terbaik untuk berjaya,” tambahnya.
Dari segi sektor kesihatan pula, Muhammad Bakhtiar berkata, beliau amat memberi perhatian kepada kesedaran kesihatan dalam kalangan penduduk terutamanya golongan muda.
“Apabila saya turun ke padang bertemu penduduk, saya dapati ramai dalam kalangan orang muda di usia 30-an dan 40-an terkena penyakit-penyakit berbahaya seperti strok, kencing manis dan darah tinggi.
“Jadi saya jalankan program saringan kesihatan percuma dan kempen kesedaran tentang penyakit kronik seperti strok dan diabetes bagi menggalakkan masyarakat menjalani pemeriksaan berkala.
“Ramai yang tidak menyedari kepentingan kesihatan sehingga sudah terlambat. Jadi, saya mahu meningkatkan kesedaran ini agar rakyat lebih waspada dengan ancaman penyakit-penyakit berbahaya ini,” katanya.
Muhammad Bakhtiar berkata, beliau turut mengusahakan penambahbaikan kemudahan hospital dan klinik di Balik Pulau ketika ini.
Katanya, ini termasuk usaha mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk menambah baik sistem pendingin hawa di Hospital Balik Pulau serta kelengkapan lain seperti mesin ultrasound.
“Kadang-kadang kalau kita masuk hospital rasa lagi sakit sebab keadaan panas dan sesak. Jadi, saya cuba usahakan untuk Hospital Balik Pulau memperoleh pendingin hawa agar pesakit lebih selesa di sana,” katanya.
BIODATA
Datuk Muhammad Bakhtiar Wan ChikUsia: 60 tahun
Parti: PKR
Pendidikan : Alumni Penang Free School dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Arizona, Tucson, Arizona, Amerika Syarikat (AS).
Jawatan: Ahli Parlimen Balik Pulau sejak 2018 sehingga sekarang
Pengalaman : Aktif dalam politik sejak 2013 dan merupakan bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya
(2018-2020)
Dalam sektor ekopelancongan pula, Muhammad Bakhtiar optimis terhadap potensi Balik Pulau sebagai destinasi pelancongan lestari.
“Balik Pulau ini adalah sisi berbeza Pulau Pinang yang menawarkan kehijauan, udara segar dan komuniti kampung yang mesra.
“Balik Pulau membawa keseimbangan antara kemodenan dan keperluan untuk menikmati keindahan alam sekitar yang menghijau di Balik Pulau,” ujar beliau.
Tambahnya, salah satu aktiviti riadah yang paling popular di kawasan Balik Pulau ialah aktiviti berbasikal yang mendapat pengiktirafan tinggi di TripAdvisor sebagai tarikan utama di kawasan berkenaan.
“Selain itu, pembangunan taman rekreasi di Pantai Malindo juga sedang dirancang untuk menjadikannya lokasi terbaik menikmati matahari terbenam di Pulau Pinang.
“Saya yakin, apabila pelancongan berkembang, ekonomi setempat turut meningkat di mana permintaan terhadap makanan, kraftangan dan perkhidmatan juga meningkat. Ini memberi peluang kepada peniaga tempatan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, di sebalik semua perancangan itu, cabaran utama Balik Pulau ialah untuk membentuk kesalinghubungan dengan lokasi lain di Pulau Pinang terutama di daerah Timur Laut yang pesat membangun.
“Saya telah mengusulkan kepada kerajaan pusat untuk membina terowong menghubungkan Timur Laut dan Balik Pulau.
“Jika kita mahu ekonomi Balik Pulau berkembang, kita perlukan hubungan yang lebih baik. Cadangan saya ialah pembinaan terowong sepanjang tiga kilometer (km) yang tidak akan menjejaskan kawasan hijau di Balik Pulau.
“Kami tidak mahu pembangunan yang mengorbankan identiti Balik Pulau sebagai kawasan hijau. Sebaliknya, kami mahu memastikan ia berkembang secara lestari,” katanya. – UTUSAN










