Azlina Aziz rindu asam pedas Normadiah - Utusan Malaysia

Azlina Aziz rindu asam pedas Normadiah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JALAN Boon Teck di Singapura adalah lokasi yang cukup bersejarah kerana di sinilah terbinanya penempatan artis sekitar era 50 dan 60-an. Kuarters merangkumi rumah panjang batu berdindingkan kayu yang dibina di jalan ini satu masa yang lalu menyaksikan keharmonian dan kemuafakatan penduduknya yang terdiri dalam kalangan bintang legenda dan pekerja filem yang dulu mewarnai dunia sinema Melayu.

Barisan artis yang pernah tinggal di sini antaranya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar, S. Shamsudin, Sarimah, Mariani, Saadiah, Jins Shamsudin, Rosnani, Ibrahim Pendek, Kassim Masdor dan ramai lagi. Penyanyi yang juga anak kepada pasangan Normadiah dan Aziz Jaafar iaitu Azlina Aziz ialah antara sebilangan kecil yang sempat merasai pengalaman tinggal di kuarters tersebut. 

Azlina, yang saya jumpa semasa sesi rakaman sebuah program hari raya terbitan Astro baru-baru ini sempat menceritakan pengalaman zaman kanak-kanaknya berdepan bencana banjir yang melanda kawasan perumahan itu menjelang Hari Raya Aidilfitri satu masa lalu. 

“Kawasan sekitar ditenggelami air yang tingginya mencecah pinggang orang dewasa. Lebih menyedihkan adalah apabila banjir berlaku ketika penduduk sedang rancak membuat persiapan hari raya yang disambut keesokan harinya.

“Sambutan hari raya ketika itu bertukar sesi membersihkan rumah yang kotor diselimuti lumpur. Antara barang yang sempat diselamatkan adalah baju baru yang kami rancang untuk pakai sempena perayaan tersebut. 

“Namun, walaupun penduduk sibuk membersihkan rumah masing-masing, amalan kunjung mengunjung tetap diteruskan. “Kalau dikenang, memang menyedihkan hati. Namun itulah memori hari raya yang masih saya ingat sampai sekarang,” katanya.

RINDUKAN AIR TANGAN IBU 

Asam Pedas hasil air tangan Allahyarham seniwati Normadiah merupakan juadah yang paling dinantikan Azlina dan adik beradiknya saat perayaan Hari Raya Aidil tri dulu. Kata Azlina, masakan ibunya antara perkara yang paling dirindukan dan mengundang sebak jika dikenang semula. 

“Ibu saya tidak kedekut kalau masak. Bahan dan rempah untuk masakannya serba serbi lengkap. Dan yang paling penting dia masak dengan kasih sayang.

“Selain asam pedas, arwah juga akan jamu keluarga dengan Ayam Manado yang dimasaknya. Dua juadah itu adalah menu penting keluarga kami pada hari raya. 

“Sekarang, bakat memasak itu turun kepada adik saya, Liza Aziz dan juga kakak ipar saya. Mereka boleh hasilkan asam pedas dan ayam manado seperti yang dimasak ibu kerana arwah ada wariskan buku hasil tulisan tangan yang mengandungi senarai bahan dan cara menyediakan menu berkenaan. 

“Jadi, setiap kali hari raya, terubat juga kerinduan kami untuk menikmati masakan ibu,” katanya. Kata Azlina lagi, dia juga masih terkenang gelagat Allahyarham ayahnya yang juga menjadi penyeri keluarga ketika hayatnya. 

“Arwah abah ini santai orangnya. Saya tidak boleh lupa gelagatnya umpama pengawas sekolah yang memeriksa hasil kerja kami mengemas rumah menjelang hari raya. 

“Arwah cukup menceriakan suasana dan dia tak pernah kisah, ada atau tidak perabot baru ketika hari raya asalkan rumah kami bersih dan kemas,” ceritanya. 

PERTAMA DAN TERAKHIR BERJUMPA P.RAMLEE

NOVEMBER 1972 menjadi saksi kepada peristiwa menyayat hati yang berlaku di kediaman pasangan Normadiah dan Aziz Jaafar di Jalan Boon Teck, Singapura. 

Ketika itu, pasangan tersebut menerima kedatangan P. Ramlee yang menziarahi mereka sempena hari raya. Melihat dengan mata kepala sendiri, Azlina yang masih kanak kanak pada ketika itu menyaksikan P. Ramlee datang menyampaikan hasrat penting kepada bapanya. 

“P. Ramlee datang ziarah kami, saya masih ingat beliau berkata kepada abah saya, ‘Aziz, saya tak pernah berlakon dengan you, satu kali nanti kita akan berlakon bersama, kita berlakon sebagai adik beradik’. 

“Itulah kali pertama dan terakhir saya melihat P. Ramlee datang ke rumah kami. Namun, hasrat beliau untuk berlakon bersama abah tidak kesampaian kerana tahun berikutnya, beliau meninggal dunia

“Pelakon dulu, hubungan mereka ibarat keluarga. Tinggal pula di kuarters yang sama. Memang sangat akrab,” katanya. 

INDAHNYA BERAYA DI DESA

AZLINA menyifatkan dirinya beruntung apabila diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu malar segar ini dari komposer yang mendapat julukan Raja Lagu Hari Raya, Allahyarham S. Atan. 

Katanya, dia juga cukup bernasib baik kerana terpilih menyanyi lagu raya yang masih berkumandang sehingga ke hari ini. 

“Saya tidak ambil masa lama, kira-kira kurang satu jam untuk rakamkan lagu ini. Saya anggap diri saya ini beruntung kerana dipilih menyanyikannya. 

“Ramai yang kata S. Atan ini komposer yang garang. Tapi pada saya dia teliti orangnya. Saya lega bila arwah gembira dengan hasil nyanyian saya membawakan lagu ini. 

“Indahnya Beraya Di Desa adalah lagu yang lengkap pakejnya. Melodinya indah dan liriknya dekat dengan masyarakat. Itu yang membuatkan lagu ini kekal relevan sampai sekarang,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya