PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP baharu yang dipilih pada Kongres Ke-18 DAP semalam.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengharapkan barisan kepimpinan baharu parti itu dapat meneruskan tugas masing-masing.
“Tahniah, teruskan bekerja,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Ih’ya Ramadan di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini hari ini.
Dalam pemilihan CEC DAP semalam, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke terpilih untuk menganggotai Jawatankuasa Tertinggi parti itu.
Bekas Setiausaha Agung DAP itu antara 29 pemimpin lain yang mengesahkan keanggotaan dalam senarai kepemimpinan baharu parti itu.
Selain Loke, empat daripada enam bekas Naib Pengerusi DAP masing-masing Gobind Singh Deo, Chong Chien Jen, Chow Kon Yeow dan Nga Kor Ming turut mengesahkan keanggotaan dalam barisan kepemimpinan baharu parti itu.
Barisan 30 ahli CEC baharu DAP itu kemudian dijadualkan mengadakan perbincangan untuk memuktamadkan perjawatan yang akan disandang bagi setiap pemimpin terpilih menganggotai kepimpinan utama parti berkenaan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok gagal menempatkan diri dalam senarai 30 ahli Jawatankuasa CEC pada pemilihan DAP semalam.
Turut tidak tersenarai ialah penyandang jawatan Timbalan Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.
Turut tidak terpilih ialah Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Yin. – UTUSAN