CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu 70 peratus pelajar sekolah berasrama penuh (SBP) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Maktab Rendah Sains Mara (Mara) memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mulai tahun hadapan.
Perdana Menteri berkata, usaha untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam STEM perlu dimulakan segera memandangkan kepentingan bidang itu.
“Saya juga akan cadangkan kepada pelajar sekolah maktab dan sekolah asrama penuh, kurang lebih 70 peratus mulai tahun depan yang mahu masuk ke sekolah asrama penuh, mesti pilih jurusan STEM.
“(Baki) 30 peratus mesti (bidang) liberal arts dan sains sosial, macam saya. Kalau tak ada pun tak boleh juga,” katanya pada Majlis Iftar Madani Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bersama Syarikat Korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Universiti Multimedia di sini hari ini.
Anwar juga mengarahkan KPM dan Mara untuk melaksanakan beberapa insiatif bagi mendorong minat pelajar dalam bidang STEM.
“Kita ada Infineon, NVIDIA, Google, Microsoft dan sekarang kecerdasan buatan (AI) merata tempat, tetapi anak-anak kita tidak ambil STEM. Maksudnya, matematik (dan) sains itu sudah kurang minatnya, jurusan kejuruteraan dan sebagainya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar merakamkan penghargaan kepada Public Bank Berhad (PBB) kerana telah mengembalikan semula anugerah bahasa.
“Baru-baru ini saya telah mendapat persetujuan Public Bank. Semasa saya dalam kerajaan dulu, kita mulakan hadiah bahasa di peringkat universiti, peringkat kolej, sekolah mendengar, sekolah rendah kebangsaan, kemudian sekolah Cina dan sekolah Tamil.
“Hadiah bahasa ini untuk promosi bahasa dan saya ucap terima kasih kerana hadiah bahasa ini dihidupkan semula,” katanya. – UTUSAN