KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan termasuk sekolah dan universiti perlu menguasai kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, AI mempunyai kepentingan yang sangat signifikan kerana akan menentukan negara mempunyai keupayaan dalam meningkatkan produktiviti.
“Saya akui AI adalah pendekatan yang mencabar kerana walaupun kita jadikan dasar yang jelas, tetapi penguasaannya masih terbatas.
“Disiplin baharu perlu diperkenalkan seperti AI dan teknologi baharu di universiti, pusat-pusat latihan dan kecemerlangan.
“Arahan kepada semua pusat pendidikan, termasuk sekolah menengah dan univerisiti memberikan tumpuan kerana saya berpendapat penguasaan AI ini akan menentukan sama ada Malaysia ada keupayaan daripada sudut peningkatan produktiviti,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai kebolehcapaian Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2050.
Anwar berkata, kerajaan juga menetapkan setiap syarikat baharu yang melabur di negara ini mewujudkan Centre of Excellence dalam memacu penggunaan AI.
Katanya, banyak pelabur besar yang masuk ketika ini melihat keupayaan dan penguasaan sumber tempatan terhadap AI sebagai keutamaan mereka. – UTUSAN