PETALING JAYA: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kekal sebagai benteng utama negara dan sentiasa bersedia melindungi negara pada setiap masa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, agensi itu yang mempunyai lebih 2.2 juta anggota sukarela sentiasa komited dan setia berkhidmat demi keselamatan rakyat.
Justeru itu, beliau menyeru rakyat Malaysia supaya terus menghargai pengorbanan seluruh anggota APM yang sentiasa bersedia melindungi negara.
“Setiap 1 Mac merupakan penghormatan kepada seluruh anggota APM atas peranan mereka dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Sejak penubuhannya pada 1952, APM kekal sebagai benteng utama negara dalam pengurusan bencana serta dibantu oleh lebih 2.2 juta anggota sukarela yang komited dan setia berkhidmat demi keselamatan rakyat.
“Marilah kita terus menghargai jasa dan pengorbanan seluruh anggota APM yang sentiasa bersedia melindungi kita semua walau dalam apa jua keadaan,” katanya dalam kenyataan.
Di Malaysia, sambutan ini lebih bermakna apabila Mac turut diangkat sebagai bulan Pertahanan Awam,dengan pelbagai program dan aktiviti bakal diadakan sepanjang tempoh berkenaan.
Kemuncaknya adalah Sambutan Hari Ulang Tahun APM ke-73 yang dijadualkan berlangsung pada 24 Mac ini.