Alamak.., hari ini tiada lagi 10 malam terakhir Ramadan. Sudah selesai dan kalau umur panjang, mungkin tahun depan jumpa lagi.
Namun kita kekal tidak berubah . Berapa kali lagi kita akan jumpa 10 malam terakhir? Begitulah kisahnya setiap tahun. Ketika kita diminta meningkatkan ibadah sebaliknya pula berlaku kerana banyaknya cabaran.
Cabaran umat Islam sepanjang bulan Ramadan bukan sedikit.
Selain sering tumpas dengan daya pujuk syaitan yang boleh membawa kepada perlakuan tidak baik, ada lagi dugaan yang mereka tempuh yang menggugah iman.
Ketahanan yang datang daripada kekuatan iman sering dicabar, kalau kesabaran luntur, banyak perkara mendedahkan kepada perkara dosa.
Meskipun ada nas mengatakan syaitan dirantai sepanjang Ramadan dan ada pintu syurga yang khas bagi mereka yang berpuasa, itu semua tidak menghalang umat Islam terdedah kepada perkara perkara yang mencairkan pahala puasa.
Sebab godaannya tinggi maka Tuhan juga menawarkan ganjaran yang juga besar. Sepanjang Ramadan segala amalan sunat, ganjarannya seperti seseorang melakukan ibadah wajib dan ibadah wajib diberi ganjaran berlipat ganda.
Satu ganjaran berlipat ganda yang ditawarkan sepanjang Ramadan ialah Lailatur Qadr.
Lailatur Qadr lebih baik daripada 1,000 bulan tetapi masih ramai umat Islam melepaskan peluang menunggu Lailatul Qadr, kerana lebih tertarik ke bazar sama ada bazar Ramadan atau seterusnya bazar Syawal.
Sedangkan dalam banyak nas hadis dan ayat Quran, Allah memberi jaminan kepada orang beriman betapa mereka dikurniakan gandaan pahala walaupun usia kita lebih pendek sepanjang Ramadan, sekiranya kita bersungguh sungguh mencari keinsafan tahun ini, kita sepatutnya berhempas pulas supaya tidak terlepas dan akhirnya kerugian yang tidak ada tolok bandingnya.
Naratif mudahnya, sebahagian kita lebih teruja menyambut Aidilfitri melepaskan dengan begitu peluang keemasan malam tersebut.
Ketika masuk waktu Maghrib pada malam ke-21, kita sepatutnya membentang sejadah beribadah dan berdoa dan bukan sibuk memikirkan tart nanas, almond london dan kuih siput atau berfikir bagaimana hendak tukar langsir baharu.
Ada riwayat mengatakan, ada kemungkinan berlaku malam ganjil seperti malam ke-21, malam ke-23, ke-25 dan ada yang menetapkan kemungkinan malam ke -27 Ramadan dan paling akhir malam ke 29, tetapi di sebalik ramalan terhadap tarikh tarikh tersebut , kita hanya melepaskan dengan sibuk ke bazar.
Dalam hal ini saya mendapatkan pandangan Amaluddin Arshad, Pensyarah Tahfiz daripada Universiti Tenaga Nasional (Uniten) .
Beliau berkata , kalimah al-Lail bermakna malam dan bertepatanlah dengan kalimah Lailatul Qadar yang membawa makna satu malam yang penuh kemuliaan yang luar biasa mengatasi malam-malam yang lainnya.
Kata beliau, Allah tidak menetapkan malam tertentu bila sebenarnya Lailatul qadr supaya umat Islam memburu malam tersebut dengan beribadah bagi meningkatkan amalan baik mereka.
Sebab itu rugilah mereka yang dilalaikan dengan kesibukan menyambut Aidilfitri sedangkan peluang keemasan terhidang depan mata sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.
Amaludin berkata, malam tersebut tidaklah ada petunjuk zahir yang jelas, tetapi hanya dapat dirasai oleh insan-insan pilihan Ilahi.
Namun, terdapat beberapa pandangan yang menyebutkan apabila berlakunya al-Qadr, malam tersebut keadaan damai dan sangat tenang, suasana sayu serta malam yang sangat nyaman dan keadan cuaca tidak sejuk tidak panas. Pada keesokan paginya matahari tidak memancar terik dan agak redup serta menyenangkan.
Sepanjang 10 malam itu pula banyak drama menjelang hari raya yang berlaku. Kehabisan bekalan mentah, isu giliran balik rumah mentua siapa, bunyi mercun berdentum-dentum yang semuanya tidak menjurus kepada kita mengingati Allah.
Bagi warga kota, bazar di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) semestinya menjadi tumpuan bagi membuat persiapan terakhir. Dalam bulan Ramadan itu lah kejadiannya , berbeza dengan 17 Ramadan zaman Rasulullah ketika turunnya al-Quran mengikut perantara malaikat Jibrail.
Maka inilah masanya juga kita bertadarus selain bertadabbur dengan al-Quran.
Pada zaman Rasullulah , Allah perintahkan baginda dan sahabat berperang walaupun pada asalnya rombongan itu keluar bukan untuk tujuan itu.
Kejadian itu diperintahkan dalam bulan Ramadan. Disebabkan situasi berperang yang sangat getir ini baginda dan para sahabat tidak sempat membuat apa apa persiapan pun , tidak ada kelengkapan perang,
Perang Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah atau 17 Mac 624 M di Hijaz, di bahagian Barat Semenanjung Arab (kini Arab Saudi).
Dalam pertempuran Badar, umat dengan kekuatan 313 tentera mampu menewaskan 1,000 tentera Quraisy dengan pertolongan Allah dan moralnya adalah umat Islam perlu mengharungi pelbagai `pertempuran’ sepanjang Ramadan.
Pertempuran Badar yang berlaku pada zaman Rasulullah sering diingati kerana berlaku ketika bulan Ramadan, tetapi itu dalam zaman Rasulullah tetapi, sebaliknya kita di sini leka bertempur di bazar.
Tidak apalah, semua sudah berlalu, ini sekadar perkongsian rungutan dan teguran kepada kita yang tidak pernah mengambil ibra dan iktibar. Bila lagi kita akan jumpa 10 malam terakhir?
Siapa agaknya yang lulus dengan cemerlang dan bergraduat dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang memuaskan daripada madrasah Ramadan kali ini
Haraplah kita bukanlah seperti disebutkan dalam satu nas, maka celaka lah mereka yang keluar daripada Ramadan, sama seperti sebelum Ramadan. – UTUSAN










