KUALA TERENGGANU: Trafik di Terengganu dijangka sesak mulai 28 Mac ini dengan jangkaan 70,000 hingga 80,000 kenderaan mula memasuki negeri ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, waktu kemuncak kesesakan dijangka berlaku pada 29 dan 30 Mac ini dengan kepulangan anak perantau dari luar Terengganu.
Katanya, aliran trafik dijangka sesak di beberapa lokasi terutama di lebuh raya utama dan jalan persekutuan sepanjang tempoh tersebut.
“Fasa seterusnya adalah waktu kepulangan anak perantau ke ibu kota yang dijangka berlaku kesesakan pada 5 dan 6 April ini selepas tamat bercuti di kampung halaman. Sehubungan itu, JPJ memperkasa pemantauan dan rondaan bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya,” katanya hari ini.
Antara langkah yang dilakukan JPJ adalah melaksanakan rondaan berterusan (POBC) selama 16 jam sehari sepanjang tempoh tersebut.
Katanya, operasi diteruskan hingga 24 jam sehari bagi tarikh 29 dan 30 Mac ini serta 5 dan 6 April, selaras dengan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan. – UTUSAN