Abang maut sebelum sempat imamkan solat tarawih 

Abang maut sebelum sempat imamkan solat tarawih 

MUHAMAD HAFIY Mohd. Nazri membacakan doa selepas jenazah abang dan bapanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Luas, Besut, Terengganu. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: “Ketika kejadian ayah dan abang dalam perjalanan  ke masjid kerana abang sepatutnya  menjadi imam solat sunat tarawih di masjid di Kampung Padang Luas,” luah Muhamad Hafiy Mohd. Nazri. 

Muhamad Hafiy, 15, merupakan anak bongsu kepada bekas guru agama yang maut bersama seorang lagi anak lelakinya, selepas motosikal ditunggang dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Kampung Padang Landak di sini, semalam. 

Muhamad Hafiy berkata, sebelum tragedi, dia bersama ibunya, Siti Khumairo Samsuddin, 58, sempat berbuka puasa dengan kedua-dua mangsa di sebuah surau sebelum kembali semula ke rumah mereka.

“Selepas berbuka puasa, ayah dan abang menaiki motosikal ke masjid terlebih dahulu manakala saya dan ibu bergerak kemudiannya dengan menaiki kereta. 

“Sewaktu perjalanan ke masjid, kami lihat ada ambulan di lokasi kejadian, namun tidak mengetahui bahawa yang kemalangan itu ialah ayah dan abang keempat saya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Luas.

Jenazah Muhammad Hamas Mohd. Nazri, 25, dan Mohd. Nazri Mohd. Nor, 59, selamat dikebumikan kira-kira pukul 3.30 petang, tadi.

Kedua-dua Allahyarham dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Luas. 

Suasana pilu menyelubungi pekarangan tanah perkuburan apabila hampir 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk kampung hadir bagi memberikan penghormatan terakhir. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN