ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 639 tan metrik sisa pasca banjir sudah dikutip dalam Operasi Pasca Banjir di seluruh negeri ini, setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, operasi itu memberi tumpuan di kawasan yang paling teruk terjejas banjir iaitu Pontian, Batu Pahat, Kluang dan Johor Bahru.
Beliau berkata, Pusat Transit Sisa Pasca Banjir diwujudkan di beberapa lokasi strategik bagi memastikan pengurusan sisa lebih lancar sebelum dihantar ke tapak pelupusan utama.
“Pusat transit ini dapat mempercepatkan pengurusan pembuangan dan mengurangkan kesesakan di kawasan terjejas.
“Sebanyak 52 unit kenderaan berat termasuk jentera pengangkut, lori kompaktor, jentera pembersihan dan kenderaan utiliti digunakan bagi kerja-kerja pembersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Ops Pasca Banjir bagi memastikan kebersihan dan keselamatan kawasan yang terjejas di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Mohd. Jafni berkata, operasi pasca banjir di seluruh negeri ini kini mencapai 80 peratus kemajuan setakat semalam.
“Dengan izin Allah, dalam tempoh dua hari lagi sebelum Hari Raya, semua lokasi yang terjejas akan dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, kerja pembersihan turut dilaksanakan di kawasan yang di luar kawasan perbandaran rasmi seperti kawasan setinggan, terutamanya kawasan yang terjejas teruk.
Katanya, ia dilaksanakan menerusi kerjasama program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh agensi dan syarikat swasta. – UTUSAN