500 kitab bernilai RM50,000 hangus

500 kitab bernilai RM50,000 hangus

ZULKIFLEE Mohamed menunjukkan sebahagian kitab yang hangus dalam kejadian di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/ROHANA MOHD.NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang hakim syarie hanya mampu termenung melihat cebisan kira-kira 500 kitab pelbagai pengajian Islam bernilai lebih RM50,000 yang hangus dijilat api dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Bunut Payong, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, Zulkiflee Mohamed, 58, yang bertugas di Mahkamah Syariah Bachok di sini tiada di rumah kerana menunaikan solat tarawih bersama anak lelakinya, Ahmad Hamzallah, 27.

Zulkiflee berkata, semasa kejadian, isterinya, Hamidah Mat, 58, dan anak bongsu mereka, Ahmad Amar Faiz, 17, turut keluar menunaikan solat tarawih di dua masjid bersama menantu serta empat asnaf yang tinggal bersama mereka.

Katanya, semasa di masjid, dia menerima panggilan telefon daripada salah seorang anaknya kira-kira pukul 9.30 malam yang memberitahu rumah mereka terbakar.

“Saya bergegas pulang dan mendapati rumah sudah musnah dijilat api. Difahamkan, api merebak dengan cepat dalam tempoh 15 minit yang menyebabkan rumah saya ranap.

“Saya tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah termasuk kira-kira 500 kitab dengan sebahagiannya dibeli dari Mesir yang dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya ketika ditemui semalam.

Zulkiflee berkata, semua kitab yang rata-ratanya berusia lebih 30 tahun itu disimpan di dalam tiga buah almari yang terbakar bersama sejumlah wang tunai, barang kemas dan sebuah trak pikap jenis Ford Ranger. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×