30 tahun Penganan Warisan tambat selera

30 tahun Penganan Warisan tambat selera

ROHIMIE Ismail@Nik (kanan) dan Maziah Che Ismail menunjukkan kuih Penganan Warisan yang dihasilkan mereka di Kampung Jerangau Sungai, Dungun, Terengganu. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Keenakan rasa kuih yang manis berlemak dan bertekstur lembut membuatkan kuih Pe­nganan Warisan diusahakan dua wanita di Kampung Jerangau Sungai di sini, sering dinanti-nantikan setiap kali ketibaan Ramadan.

Peniaga, Rohimie Ismail@Nik, 54, berkata, kuih penganan yang diusahakan bersama kakak ipar­nya, Maziah Che Ismail, 56, mendapat permintaan tinggi sejak lebih 30 tahun lalu.

Katanya, meskipun mereka sudah menggunakan dapur gas untuk membakar penganan, teknik bara api daripada sabut kelapa khusus bagi membakar bahagian atas kuih masih dikekalkan demi memastikan rasa lebih enak.

“Alhamdulillah, sejak 30 tahun lalu, kuih ini sentiasa mendapat permintaan pelanggan sehinggakan kami terpaksa mengambil tempahan daripada pelanggan sehari lebih awal dan hanya mengehadkan sebanyak 70 biji sehari kerana kekangan tenaga kerja.

“Kami bukan tidak mahu mengambil pekerja, namun pembuatan kuih ini sangat cerewet dan mahu menjaga kualitinya supaya tidak mudah basi dan boleh tahan sehingga dua hari,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Rohimie berkata, kuih itu menggunakan resepi tersendiri arwah ibunya, Maznah Embong yang menggunakan telur yang banyak, selain penggunaan tepung beras, gula dan santan.

“Kami juga menggunakan acuan tembaga untuk membakar adunan kuih dan sebiji kuih dibakar sehingga 20 minit. Kuih kami buat berbeza de­ngan yang dijual orang lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN