MELAKA: Seramai 15,500 kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) termasuk guru-guru akan diserapkan daripada jawatan kontrak ke jawatan tetap apabila skim perjawatan agensi itu dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh tiga bulan.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd. Hanafiah Man berkata, cadangan penambahbaikan skim perjawatan kakitangan Kemas akan diperhalusi bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat.
Katanya, sudah tiba masa perjawatan yang sebelum ini berstatus kontrak menjadi tetap setelah berkhidmat hampir 40 tahun.
Katanua, cadangan untuk mengemas kini semula skim perjawatan termasuk tangga gaji telah dipersetujui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.
“Arahan diberikan untuk melihat kemungkinan jawatan di Kemas ini tidak lagi bersifat kontrak dan kita akan perbetulkan semula skim perjawatan serta diperhalusi dengan JPA dalam masa terdekat.
“Kita mempunyai tempoh tiga bulan untuk menyiapkan cadangan perjawatan dan gred gaji sebelum dibentangkan kepada Kabinet,” katanya ketika ditemui pada Program Pemerkasaan Masyarakat Madani Kemas Melaka di Dewan Pusat Kegiatan Kemas Melaka Tengah, Telok Mas di sini, kelmarin.
Kata Mohd. Hanafiah, skim gaji baharu guru-guru Kemas yang berstatus kontrak juga akan diberikan jawatan tetap membabitkan seramai 10,600 orang di seluruh negara.
“Kami ada 10,600 guru yang berkhidmat secara sukarela dan sewajarnya mereka juga harus diserapkan ke jawatan tetap,” katanya.










