1,000 pelita hiasi R&R Perasing, sambut perantau pulang beraya

1,000 pelita hiasi R&R Perasing, sambut perantau pulang beraya

LEBIH 1,000 pelita dipasang pada 10 malam terakhir Ramadan bagi menyambut kepulangan perantau ke negeri Terengganu di R&R Perasing, Kemaman, Terengganu. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di Lebuh­raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang sebelum ini gelap pada waktu malam, bertukar meriah dengan pemasangan lebih 1,000 pelita sejak kelmarin.

Ia dipasang pada 10 malam terakhir Ramadan untuk menggamit memori malam tujuh likur dan ‘menyambut’ kepulangan perantau ke kampung halaman untuk berhari raya dan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Perasing dan daerah ini adalah pintu masuk ke Terengganu bagi LPT2.

“Biasanya pengguna LPT2 singgah di hentian ini untuk berehat selain menggunakan kemudahan yang terdapat di sini seperti surau, tandas dani makan. Kita pasang pelita ini sebagai tarikan dan memberi pe­luang kepada mereka menikmati suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti dahulu kala,” katanya selepas Program Peliter@Perasing dan Moreh bersama peniaga di hentian itu, kelmarin.

Razali berkata, program itu mampu meningkatkan pendapatan peniaga di R&R ber­kenaan dengan kehadiran lebih ramai pengunjung.

“Kita turut berbincang dengan Pejabat Daerah Kemaman dan beberapa jabatan lain bagi memastikan R&R Perasing sebagai destinasi wajib singgah.

Program pemasangan pelita ini turut diperluas ke sempadan Besut yang juga merupa­kan pintu masuk ke Terengganu pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati, orang ramai termasuk kanak-kanak yang singgah mengambil peluang bermain bunga api selain merakam gambar kenangan dengan keindahan cahaya daripada pemasangan pelita tersebut.

Seorang pengunjung, Abdul Manaf Jusoh, 63, berkata, dia yang dalam perjalanan dari Selangor ke Kota Bharu, Kelantan yang singgah di R&R Perasing, teruja dengan suasana meriah di situ.

“Saya singgah dengan anak dan dua cucu untuk berehat dan makan. Tak sangka pula ada banyak pelita dipasang di sini, jadi kami beri peluang kepada anak dan cucu nikmati suasana di sini. Rasa macam zaman 80-an dahulu, pelita di­pasang 10 malam terakhir Rama­dan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN