Warga emas hilang di Gua Beringin ditemukan meninggal dunia

Warga emas hilang di Gua Beringin ditemukan meninggal dunia

MAYAT lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari najis kelawar ditemukan pasukan penyelamat di Gua Beringin Chuping, Padang Besar, Perlis hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumah untuk mencari najis kelawar di Gua Beringin Chuping di sini sejak semalam ditemukan meninggal dunia, hari ini.

Mayat mangsa, Kamardin Pin, 61, ditemukan pasukan penyelamat ketika operasi mencari warga emas itu sekitar pukul 12.03 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, mayat lelaki itu ditemukan di kawasan hutan belakang rumahnya pada jarak kira-kira 50 meter. 

“Sewaktu ditemukan, lelaki tersebut didapati telah meninggal dunia dan hasil pemeriksaan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya. 

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kehilangan seorang lelaki warga emas sejak semalam selepas dipercayai keluar dari rumah untuk mencari najis kelawar di Gua Beringin.

Kehilangan Kamardin disedari isterinya apabila warga emas itu tidak pulang ke rumah selepas keluar pada pukul 8 pagi ke gua berkenaan yang terletak di belakang rumah iaitu jarak sekitar 100 meter.

Susulan itu, satu operasi pencarian dijalankan di sekitar lokasi kejadian bagi mengesan kedudukan lelaki tersebut.

Operasi itu melibatkan penduduk setempat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Arau, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Besar dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.

Mohd. Shokri berkata, mayat lelaki itu telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi tujuan bedah siasat. 

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN