SEREMBAN: Dua lelaki dan seorang wanita warga China bersama seorang lelaki warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyediakan barangan untuk penghasilan dadah jenis kokain untuk tujuan pengedaran pada 17 Februari 2025.
Tertuduh, He JingJing dan Cheng Ziyue masing-masing berusia 36 tahun dan Hu Jingjie, 28, serta Tan Wee Jin, 36, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama menyediakan barangan untuk penghasilan dadah jenis kokain sebagai persediaan bagi tujuan mengedar dadah berbahaya itu di sebuah rumah di Nilai Spring Villas pada pukul 6 petang, 17 Februari 2025.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 39B (1) (c) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali jika tidak dihukum mati.
Sementara itu, He JingJing berdepan satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis kokain dengan anggaran berat 2.145 kilogram (kg) pada lokasi dan waktu sama. – UTUSAN