KUALA TERENGGANU: Festival Candat Sotong, Pelita Raya dan Karnival Pantai menjadi fokus Jabatan Pelancongan negeri sebagai tarikan utama dalam kalendar pelancongan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Pengarahnya, Ahmad Ridzwan Abd. Rahman berkata, tiga produk itu sudah dikemukakan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selain 31 acara sampingan yang disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Terengganu 2025.
“Persiapan terperinci dibuat bagi memastikan tiga acara utama ini dapat menarik kedatangan lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke Terengganu,” katanya selepas menghadiri majlis makan malam Golden Snake Dinner anjuran Dewan Perniagaan Dan Perindustrian China Terengganu di sini, semalam.
Menurut Ahmad Ridzwan, penganjuran Pelita Raya 2025 akan diperluas penyertaannya kepada negara jiran terdekat iaitu Singapura dan Thailand serta beberapa negeri lain termasuk Kedah, Kelantan dan Perlis.
“Singapura telah bersetuju dan perbincangan lanjut akan diadakan bersama konsulat negara itu manakala Thailand pula akan menghantar penyertaan melalui Pattani dan Narathiwat.
“Mereka juga berkongsi budaya yang sama (menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri), sudah pasti program Pelita Raya kali ini lebih meriah dengan tradisi menggunakan minyak gas dan sumbu serta pelita elektronik bagi menjaga kelestarian alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan memperluas promosi maskot rasmi Terengganu iaitu sepasang penyu yang diberi gelaran ‘Awang Nelang’ dan ‘Mek Ara’.
Katanya, pihaknya memerlukan sumbangan maskot tersebut dari mana-mana syarikat korporat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat menjalin kerjasama.
“Terbaharu, kita menerima sepasang maskot ini dari Gabungan Dewan Perniagaan Terengganu yang memberi komitmen tinggi untuk bersama-sama melonjakkan lagi industri pelancongan negeri. Dengan sumbangan ini, kita sudah mempunyai dua pasang maskot penyu yang boleh digunakan untuk setiap penganjuran acara terutama berkaitan pelancongan di Terengganu,” katanya.
Maskot penyu tersebut diperkenalkan sempena pelancaran Karnival Beautiful Terengganu pada tahun lalu dan pemilihan nama pula dibuat melalui penyertaan yang dibuka kepada orang awam. – UTUSAN