Tidak boleh naik yuran PIBG tanpa persetujuan ibu bapa

Tidak boleh naik yuran PIBG tanpa persetujuan ibu bapa

Program intervensi di bawah Kementerian Pendidikan sepanjang 2024 berjaya membantu ramai pelajar Tahun Satu menguasai kemahiran 3M. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak boleh menaikkan yuran tanpa perbincangan dan persetujuan daripada ibu bapa serta pihak sekolah yang terlibat.

Setiausaha Kehormat, Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Tunku Munawirah Putra berkata, ramai ibu bapa kini menghadapi kesulitan ekonomi ekoran kenaikan kos hidup, justeru yuran tidak seharusnya membebankan mereka yang sudah mengeluarkan belanja banyak untuk pendidikan anak-anak.

“Yuran PIBG bukan bersifat wajib dan ia seharusnya tidak membebankan ibu bapa yang sudah pun berusaha menyediakan yang terbaik untuk pendidikan anak-anak mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tinjauan Utusan Malaysia di media sosial mendapati ibu bapa mengeluh dengan kenaikan yuran PIBG yang meningkat daripada RM20 kepada RM30.

Seorang pengguna di media sosial, Fiza Oteng berkata, yuran PIBG di sekolah menengah anaknya meningkat kepada RM165.

“Yuran sekolah naik, tapi fasiliti di sekolah memang teruk,” komennya.

Munawirah berkata, sebarang kutipan dana tambahan diusulkan PIBG atau pihak sekolah perlu mempunyai justifikasi yang kukuh dan terperinci.

Katanya, ia termasuk perancangan program yang jelas dan objektif, supaya ibu bapa dapat memahami sepenuhnya tujuan dan manfaat yang akan diperoleh anak-anak mereka.

“Sekiranya sekolah memerlukan tambahan dana untuk menjalankan aktiviti atau program tertentu, cadangan tersebut perlu dibentangkan secara terperinci dalam mesyuarat PIBG terlebih dahulu, supaya ibu bapa boleh menilai manfaatnya dan memberi persetujuan bersama.

“Saya turut menyarankan ibu bapa hadir ke mesyuarat PIBG yang dianjurkan pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat dan justifikasi berkaitan caj yuran PIBG yang dikenakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN