IPOH: Pelantikan seorang menteri khusus bagi hal ehwal bukan Islam tidak diperlukan kerana sistem sedia ada sudah mencukupi.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, ketika ini terdapat menteri bukan Islam yang bertanggungjawab terhadap isu-isu berkaitan, walaupun jawatannya tidak dinamakan secara khusus sebagai Menteri Hal Ehwal Bukan Islam.
Beliau berkata bahawa kerangka pentadbiran sedia ada sudah memadai untuk menguruskan hal berkaitan bukan Islam tanpa keperluan mewujudkan jawatan baharu.
“Ini sebenarnya sebab mengapa pelantikan menteri berkenaan tidak perlu, bukan sebab ia dilarang atau bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mencadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Yu Hui berpandangan, langkah itu penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini di samping memastikan tiada pihak yang terpinggir.
Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang secara jelas melarang pelantikan menteri agama untuk bukan Islam.
Beliau berkata, Perlembagaan tidak membuat apa-apa sekatan daripada segi portfolio atau bilangan menteri kecuali di peringkat negeri dalam pelantikan ahli mesyuarat kerajaan atau exco iaitu tidak kurang daripada empat dan dan tidak melebihi 10 exco.
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, cadangan mewujudkan portfolio Menteri Agama Bukan Islam dianggap tidak wajar dan memberi isyarat negatif terhadap usaha kerajaan mengurangkan saiz Kabinet.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil langkah mengecilkan jumlah menteri dan timbalan menteri daripada 70 orang ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada 60 orang.
“Penambahan anggota Kabinet akan menghantar mesej tidak baik bahawa kerajaan tidak serius menurunkan defisit yang diwarisi sejak pentadbiran sebelum ini,” katanya.
Naib Presiden Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan), Dr. Hafidzah Mustakim menyifatkan tiada keperluan mewujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam seperti diminta DAP.
Beliau berkata, kerajaan perlu menekankan kepada masyarakat bukan Islam bahawa hak mereka sentiasa terjaga dalam negara ini kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan.
“Saya nak sebutkan bahawa wujudnya Malaysia ini adalah bersandarkan Kontrak Sosial yang telah dipersetujui semua pihak di awal penubuhannya termasuk membabitkan isu-isu agama, bahasa dan hak istimewa orang Melayu. Atas asas itulah Malaysia dibina,” katanya semasa program Jom Ke Sekolah 2.0 sempena Mini Karnival Salam Rahmah @ Kota Lama, di sini, semalam.









