PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi menjelaskan tidak timbul sebarang isu mengenai pelantikan dua wakil kerajaan dalam Majlis Media Malaysia (MMM).
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, dua ahli lembaga yang juga wakil kerajaan dalam MMM adalah bertujuan mempermudahkan apa-apa proses pada masa depan.
Beliau berkata, isu pelantikan dua wakil itu telah pun dibincangkan dengan pasukan Protem (jawatankuasa sementara) yang membuat draf penubuhan MMM itu.
“Saya tak lihat ini satu perkara yang janggal kerana niatnya adalah untuk memberi sekiranya ada apa-apa maklum balas, maka akan dipermudah proses itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya 10 persatuan berkaitan media menyokong penubuhan MMM namun, mereka menolak kehadiran wakil kerajaan sebagai ahli lembaga majlis itu.
Hasrat itu disuarakan Centre for Independent Journalism (CIJ); ARTICLE 19; Gerakan Media Merdeka (GERAMM); Justice for Sisters (JFS); Suara Rakyat Malaysia (SUARAM); Sinar Project; Amnesty International Malaysia; Malaysian Center for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR); National Union of Journalists Peninsular Malaysia (NUJM) dan KRYSS Network.
Ia turut disokong North South Initiative; Pusat Komas; Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (BERSIH); SIUMAN Collective dan Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER).
Jurucakap wakil media itu menjelaskan mereka menolak kehadiran wakil kerajaan itu kerana tidak mahu objektif MMM yang ditubuhkan selepas rang undang-undang (RUU) diluluskan semalam, melemahkan objektif dan tujuannya sebagai badan kawal selia kendiri.
Semalam, industri media Malaysia melakar sejarah baharu apabila RUU MMM 2024 diluluskan oleh Dewan Rakyat di sini, selepas 50 tahun penubuhannya dibincangkan.
RUU yang bertujuan, antara lain menubuhkan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media itu mendapat sokongan majoriti selepas dibahas 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. – UTUSAN