PETALING JAYA: Pengenaan tarif tambahan sebanyak 10 peratus ke atas sarung tangan China oleh Amerika Syarikat bakal memanfaatkan pengeluar sarung tangan tempatan, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan pasaran itu berkata, pengenaan tarif terkini itu akan meningkat sentimen pelabur terhadap sektor sarung tangan Malaysia, dengan pihaknya mentafsirkan ia merupakan tambahan kepada tarif 50 peratus yang dikenakan bagi eksport sarung tangan perubatan dan pembedahan China ke AS ketika ini.
“September lalu, Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) mendedahkan kenaikan tarif ke atas import China, yang termasuk tarif lebih tinggi sebanyak 50 peratus dan 100 peratus masing-masing pada eksport sarung tangan perubatan dan pembedahan getah China ke AS bermula 2025 dan 2026.
“Kenaikan tarif sebanyak 50 peratus +10 peratus ini dijangka bakal meningkatkan harga jualan purata (ASP) pengeluar sarung tangan China kepada AS$27-29 (RM121.15-130.12) /1,000 keping, daripada kes asas AS$17-19 (RM76.28-85.25) /1,000 keping).
“Ini meletakkan ASP pembuat sarung tangan Malaysia daripada antara AS$18 (RM80.77) hingga AS$20 (RM89.74) bagi setiap 1,000 keping pada diskaun 25 hingga 32 peratus berbanding alternatif dari China,” katanya.
Presiden AS, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif Sabtu lalu yang mengenakan tarif 10 peratus ke atas import barangan China berkuat kuasa esok.
Kenanga menambah, sebarang kehilangan volum di pasaran bukan AS boleh diimbangi permintaan yang lebih tinggi daripada AS, yang memberikan ASP lebih tinggi daripada pasaran bukan AS pada masa lalu.
“AS sebelum ini menyumbang 35 hingga 40 peratus daripada jumlah keseluruhan sarung tangan Malaysia,” katanya. – UTUSAN











