Sultan Sharafuddin titah projek RTB dipercepatkan - Utusan Malaysia

Sultan Sharafuddin titah projek RTB dipercepatkan

Tambah Sultan Sharafuddin lagi, sejumlah RM3 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor 2025 yang diluluskan pada sidang DUN lalu diharap dapat digunakan untuk menambah infrastruktur dan kebajikan rakyat negeri itu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang telah dirancang sebelum ini dipercepatkan.

Titah baginda, projek yang dianggarkan berjumlah RM1.774 bilion itu perlu dibuat segera bagi mengelak insiden banjir besar yang berlaku tiga tahun lalu tidak berulang lagi di Selangor.

“Kita tidak boleh melengahkan masa dalam menggerakkan usaha-usaha mitigasi banjir kerana ia boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat beta serta kerajaan negeri.

“Beta tegaskan sekali lagi agar pentadbiran negeri melaksanakan perancangan rapi untuk menghadapi isu bencana terutamanya banjir supaya tragedi banjir yang dahsyat tidak berulang lagi,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Ke-15 Tahun 2025 di sini hari ini.

Turut mengiringi baginda ke istiadat berkenaan ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin meminta semua wakil rakyat di negeri itu menjalankan program yang boleh membantu rakyat daripada segi ekonomi dan sosial.

“Beta ingin mengingatkan supaya perancangan pembangunan negeri perlu menitikberatkan program-program yang memberi manfaat kepada rakyat dan bukan yang boleh memberi keuntungan sahaja.

“Beta ingin melihat kerajaan beta dan perkhidmatan awam di Selangor ini melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, efisien dan berdaya saing,” titah baginda lagi.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan kerajaan negeri mengutip jumlah hasil sebanyak RM2.867 bilion pada tahun lalu yang menjadi kutipan hasil paling tinggi dicatatkan dalam sejarah.

Menurut baginda, jumlah hasil yang berjaya dikutip itu tentunya dapat meningkatkan keyakinan pelaburan tempatan dan antarabangsa untuk melabur di Selangor, sekali gus negeri berpotensi mencatatkan jumlah hasil yang lebih pada tahun ini.

“Rizab kerajaan beta melalui Kumpulan Wang Disatukan pula merekodkan angka berjumlah RM4,131.38 juta. Jumlah ini adalah peningkatan sebanyak RM517 juta daripada tahun 2023, iaitu RM3,614.04 juta.

“Kerajaan Beta menyasarkan pelaburan sebanyak RM50 bilion tetapi berjaya menarik sebanyak RM66.75 bilion (pada tahun lalu),” titah baginda lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN