Bidang penulisan tanah air telah bermula sejak lama sesuai dengan penerbitan akhbar versi cetak.
Sastera tanah air mempunyai sejarah yang panjang, malah dikatakan bermula sebelum kewujudan Malaysia dan berkembang secara berfasa.
Sastera Malaysia bermula sebagai sastera tradisional iaitu karya lisan yang disampaikan daripada generasi ke generasi. Antara bentuk sastera lisan yang popular termasuklah pantun, syair, gurindam dan hikayat.
Perkembangan seterusnya berlaku ketika zaman penjajahan, terutama semasa kedatangan British, terdapat perubahan dalam bentuk dan tema sastera. Bahasa Melayu diperkaya dengan penggunaan huruf Jawi dan kemudiannya rumi.
Pada masa ini, bidang penulisan berkembang dengan wujudnya penerbitan akhbar seperti Utusan Melayu dan al-Imam yang menjadi platform untuk karya sastera seperti cerpen dan puisi, sering kali mengangkat isu perjuangan, pendidikan, dan kebangkitan bangsa.
Bidang sastera berkembang sesuai dengan keadaan. Sebagai contoh bidang sastera banyak berkisar membicarakan isu-isu berkaitan kemerdekaan.
Pada zaman inilah Angkatan Seniman Asas 50 (Asas 50) ditubuhkan. Ia merupakan sebuah kumpulan atau gerakan seniman yang ditubuhkan pada tahun 1950.
Gerakan tersebut sering dianggap penting dalam sejarah seni dan budaya Malaysia kerana ia memainkan peranan besar dalam perkembangan seni, sastera, dan budaya bangsa, terutamanya pada era sebelum kemerdekaan.
Gerakan ini ditubuhkan dengan fokus dalam bidang sastera, penulisan, drama dan teater dengan tokoh pengasasnya seperti Sasterawan Negara (SN) Datuk Seri Samad Said, SN Datuk Dr.
Usman Awang dan SN Kamaludin Muhamad atau Kris Mas yang dianggap sebagai pelopor sastera moden tanah air.
Justeru Asas 50 memfokuskan bidang kesusasteraan seperti penulisan novel, cerpen, dan puisi yang mengangkat tema keadilan sosial, kehidupan rakyat marhaen, dan aspirasi nasionalisme selain drama dan teater yang digunakan sebagai medium untuk menyampaikan mesej perjuangan.
Tetapi gerakan Asas 50 yang menyentuh isu nasionalisme dalam karya sudah dimulakan pada awal abad ke-20, lewat karya-karya sastera lebih bersifat nasionalisme seperti Datuk Zainal Abidin
Ahmad (Za’ba) dan Abdullah Sidek yang menggunakan karya mereka untuk menyemai semangat kemerdekaan dan kesedaran bangsa.
Selepas kemerdekaan pada tahun 1957, sastera Malaysia berkembang pesat. Penulis seperti Samad, Usman dan Shahnon muncul sebagai tokoh besar dalam dunia sastera.
Tema-tema seperti identiti kebangsaan, kemanusiaan, dan perubahan sosial banyak diangkat dalam karya mereka.
Hari ini sastera Malaysia terus berkembang, bukan sahaja menjadi pelantar kepada peningkatan mutu karya tetapi medan perjuangan mengembangkan bahasa dan kekayaan budaya.
Di sebalik itu semua, kita juga dimomokkan dengan dakwaan bahawa sastera hanyalah penulisan, yang tidak mampu pun membina sebatang jalan raya dan sebuah bangunan, tidak seperti sains khususnya fizik yang menjadi teras ketamadunan sesuatu kaum, bersinergi dengan budaya. Peranan sastera dinafikan dalam perkembangan tamadun dan lebih malang, ada yang menganggap bidang sastera bukan tempat cari makan. Lantaran itu, apa jadi dengan penulis sastera kita. Adakah penulis kita hidup merempat atau tidak cukup makan. Seorang penulis, SM Zakir berpendapat ia bergantung kepada genre sastera yang dihasilkan. Beliau mungkin bermaksud penglibatan dalam penulisan buku dan novel boleh menjamin pulangan pendapatan daripada royalti atau honorarium.
Memang benar, penulis novel dan buku mungkin memberi pulangan tetapi tidak semua penulis berbakat dalam semua genre itu.
Apatah lagi penulis buku atau bahan bercetak berdepan dengan ancaman teknologi digital dan penulis dalam talian yang memungkinkan karya bercetak sukar untuk dijual.
Bergantung kepada hadiah anugerah sahaja tidak boleh menjamin pulangan pendapatan, kerana bukan penganjuran yang kerap.
Penganjuran sayembara puisi dan novel serta cerpen pun berapa lah sangat hadiahnya.
Menghantar karya eceran ke medium bercetak pun sekiranya disiarkan, bayarannya bukan tinggi sangat. Malah jauh daripada menjadi kaya.
Berbanding bidang seni lukis yang boleh dijual pada harga ratusan ribu ringgit, bidang penulisan tidak begitu.
Hanya penulis prolifik yang karya mereka diterjemahkan kepada pelbagai bahasa asing, maka pendapatan daripada sini tidak lumayan.
Berapa ramai penulis kita dalam kategori tersebut. Mungkin penulis seperti Samad Said dalam kelasnya tersendiri kerana karya beliau seperti novel Salina diterjemahkan kepada pelbagai bahasa.
Bukan mudah menjadi seperti beliau. Kini Pak Samad sudah menginjak usia lebih 90 tahun. Bayangkan penulis muda sekarang perlu menginjak usia tersebut jika mahu mencapai taraf seperti beliau dengan andaian semua karya mereka mendapat tempat.
Bagi penulis prolifik Datuk Dr. Lim Swee Tin, penghasilan sebuah buku sahaja agak sukar bagi seorang penulis mendapat pulangan lumayan.
“Dengan buku sahaja, kelihatannya sukar. Mungkin ada, bukan mustahil. Tetapi, berapa ramai? soal beliau.

Ini kerana katanya, pasaran tempatan tidaklah sebesar mana. Malah jika menulis novel sekali pun, berapa ratus ribu naskhah yang terjual. Tidak mungkin ribuan jumlahnya.
Seperkara lagi, soal beliau berapakah jumlah judul mampu diterbitkan seseorang pengarang sebulan, misalnya untuk boleh menyara hidup. Adakah penulisan kumpulan cerpen, puisi atau pun esei kesusasteraan boleh memberi jaminan mendapat pulangan lumayan
Pengarang perlu memikirkan siapa penerbit, berapa lama karya tersebut dicetak, kemudian dijual. Itu belum mengambil kira aspek pembayaran royalti, kaedah pemasaran dan kelompok pembaca sasaran.
Kata beliau, pengarang boleh mempelbagaikan medium penerbitan karya, dikomikkan, diadaptasi ke drama televisyen atau filem.
Soalnya, adakah penerbit yang berminat dan kalau berminat sekali pun, berapa harga karya, dan siapa pula yang menukar novel misalnya kepada skrip?
Adakah penulis sendiri melakukannya atau ditugaskan kepada penulis lain.
Kalau karya drama pentas pula kata beliau, adakah akan dipentaskan menjadi teater yang perlu mengambil kira siapa pula produser yang bermurah hati, penulis skripnya serta bayarannya bagaimana?
Isu yang beliau bangkitkan memang merumitkan bagi seorang pengkarya untuk mendapat pulangan hasil daripada karyanya.
Swee Tin memberi contoh bagaimana penulis sepertti J. K. Rowling yang berjaya dengan karya-karyanya tetapi dia bertuah kerana pasaran bukunya hingga ke peringkat antarangsa, diterjemahkan pula ke puluhan bahasa, difilemkan dan lain-lain.
“Pendapatannya (Rowling) ratusan juta dan sekiranya dijemput menyampaikan syarahan, royaltinya tidak terbayangkan,” ujarnya.
Sebaliknya, pengarang tempatan perlu bergantung kepada sumber yang lain.
Padangan beliau bagaimana pun bukan bertujuan memperkecilkan peranan atau sumbangan pengarang, atau menyentuh mana-mana individu.
“Saya seorang pengarang. Selama bertungkus lumus berkarya sambil itu saya juga membantu penerbit buku-buku saya memasarkan buku demi memperoleh royalti yang lebih besar.
“Saya juga seorang pesara kerajaan, Alhamdulilah cukup mengasapkan dapur. Saya mendeklamasi sajak juga untuk memperoleh bayaran atau upah, membuat persembahan tarian, kadang-kadang menguatkan semangat menyampaikan lagu-lagu rakyat (sekiranya ada undangan,” ujar beliau. -UTUSAN










