PETALING JAYA: Pengasuh kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin memberitahu dia terdengar suara kanak-kanak autisme itu ketika terlibat dalam operasi pencarian pada petang 5 Disember 2023, di Apartment Idaman, Damansara Damai.
Saksi pendakwaan ke-17, Auni Afiqah Abas, 30, berkata, suara itu juga didengar adiknya yang turut serta dalam operasi tersebut yang kedengaran seperti sedang cuba melepaskan diri.
Auni Afiqah yang menjadi pengasuh kepada Zayn Rayyan sejak 2022 berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili ibu bapa kanak-kanak itu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.
Haresh: Ada atau tidak, anda mendengar suara arwah Zayn semasa terlibat dalam misi pencarian pada petang 5 Disember 2023 itu?
Auni Afiqah: Ya.
Haresh: Sebagai pengasuh kepada Zayn, anda kenal pasti itu suara Zayn, betul?
Auni Afiqah: Betul.
Haresh: Suara itu bukan sahaja didengari Auni dan adik Auni tetapi juga beberapa budak-budak di situ, betul atau tidak?
Auni Afiqah: Betul.
Haresh: Setuju atau tidak, kalau saya juga cadangkan suara yang anda dengar petang itu seolah-olah suara arwah Zayn cuba nak lepaskan diri dari seseorang?
Auni Afiqah: Saya tidak pasti.
Haresh: Ada atau tidak, Auni beri temu bual dalam ‘live’ (siaran langsung) dengan pihak media dalam TikTok mengatakan suara arwah Zayn yang anda dengar seolah-olah cuba melepaskan diri?
Auni Afiqah: Betul
Sementara itu, semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, saksi menyatakan suara yang didengar itu menyebut ‘errr’.
Aqharie Durranie: Tadi kata dengar suara Zayn pada petang itu, suara macam mana itu?
Auni Afiqah: Suara macam ‘errr’.
Aqharie Durranie: Macam mana Auni tahu itu suara Zayn?
Auni Afiqah: Sebab saya jaga dia dan dia pernah buat suara itu di rumah.
Zayn Rayyan merupakan anak autisme yang tidak boleh berkomunikasi secara lisan.
Selain itu, saksi berkenaan juga memberitahu, Zayn Rayyan hanya mampu menyebut satu perkataan iaitu ‘mommy’ dan turut digunakan ketika ‘tantrum’.
Kata Auni Afiqah, Ismanira juga satu-satunya individu yang mampu menenangkan arwah Zayn Rayyan setiap kali ‘tantrum’ yang kebiasaannya berlaku pada waktu petang dan ketika hujan lebat. – UTUSAN










