PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) membangunkan Sistem Pengesanan KPM (SiPKPM) yang dapat mengesan dan mengenal pasti murid berisiko tercicir daripada dunia pendidikan.
Sistem itu berupaya mengesan pergerakan murid dalam keseluruhan sistem pendidikan termasuk murid tercicir, berisiko tercicir dan tidak mendapat akses kepada pendidikan.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, SiPKPM bertujuan menambah baik kaedah pemantauan dalam mengesan dan mengenal pasti murid yang berisiko cicir dan murid cicir secara sistematik.
Ia bagi membolehkan KPM mengambil tindakan segera mengatasinya dengan merancang dan melaksanakan intervensi bersesuaian.
Katanya, sistem itu juga diperkukuh dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan strategi menangani masalah keciciran dalam kalangan murid di negara ini.
“Ia dapat membantu pihak sekolah mengesan murid secara individu bagi melaksanakan intervensi secara berfokus dan bertindak di peringkat awal,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabat beliau di sini, baru-baru ini.
Azman berkata, pelbagai inisiatif telah dijalankan KPM bagi membendung masalah keciciran murid di peringkat sekolah rendah dan menengah antaranya pelaksanaan program outreach yang berjaya membawa kembali sebanyak 2,873 murid ke dalam sistem pendidikan negara.
Daripada jumlah itu, seramai 883 merupakan murid sekolah rendah, manakala 1,990 lagi pelajar sekolah menengah. Mereka telah kembali bersekolah dan kekal sehingga tamat tempoh persekolahan.
Program lain yang dilaksanakan adalah ziarah ke rumah murid cicir, sesi kaunseling individu dan pemberian bantuan bagi memastikan akses pendidikan yang lebih luas dan inklusif.
“Program outreach dijalankan dengan kerjasama jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan peNGlibatan komuniti setempat bagi membantu murid cicir kembali ke sekolah.
“Program outreach murid cicir ini telah dirintis pada tahun 2018 dan diperluaskan di semua PPD pada tahun 2019 dengan memberi intervensi berfokus bagi membantu murid cicir untuk kembali bersekolah,” katanya.
Menurut beliau, agenda menangani keciciran murid turut diperkasa melalui penyediaan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC), modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI) serta modul kajian kes dan amalan terbaik.
Katanya, ia sebagai panduan kepada guru bimbingan dan kaunseling dalam membantu murid berisiko cicir yang memerlukan bimbingan.
Hasil pelbagai inisiatif dijalankan KPM, kadar keciciran murid peringkat sekolah rendah dan menengah menunjukkan trend penurunan daripada 0.08 peratus (2021) kepada 0.06 peratus (2024) bagi sekolah rendah, manakala sekolah menengah daripada 1.11 peratus (2021) kepada 0.64 peratus (2024).
Dalam pada itu, Azman berkata, bagi memastikan murid di kawasan luar bandar dan pedalaman terus bersekolah, KPM memperkenalkan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan kini konsep itu diperluaskan kepada Sekolah Komprehensif 11 (K11).
Katanya, model sekolah ini diwujudkan bagi menangani isu keciciran di kawasan pedalaman, terutama membabitkan murid yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pendidikan ke peringkat menengah disebabkan lokasi jauh, bentuk muka bumi yang mencabar dan sosio ekonomi keluarga.
“Inisiatif ini juga bertujuan mengurangkan kadar keciciran murid semasa transisi dari sekolah rendah ke Tingkatan 1 dan transisi dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4,” katanya.
Beliau menjelaskan, KPM turut menyediakan sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan iaitu 13 jenis Bantuan Khusus dan lima jenis Bantuan Umum, mengambil kira faktor kemiskinan yang menyebabkan kanak-kanak cicir daripada sistem persekolahan.
Bantuan lain termasuk Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Bantuan Makanan Asrama (BMA), Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid Asrama (PPM) dan Bantuan Pakaian Seragam Badan Beruniform (BPS). – UTUSAN










