Sindiket proses e-waste lumpuh, babitkan nilai rampasan RM71.52 juta

Sindiket proses e-waste lumpuh, babitkan nilai rampasan RM71.52 juta

Premis pemprosesan e-waste adalah kilang haram yang tidak diberikan lesen ataupun kebenaran pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua melumpuhkan sindiket menyimpan dan memproses sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram membabitkan nilai rampasan RM71.52 juta dalam serbuan tiga kilang di sini kelmarin.

Operasi bersepadu pada pukul 6.10 pagi itu melibatkan sepasukan anggota polis dari unit Pasukan Polis Marin Wilayah Dua bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor serta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang menyerbu kilang di Desa Cemerlang, Ulu Tiram dan Plentong.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, sindiket memproses sisa buangan e-waste ini dipercayai mula beroperasi sejak awal tahun lalu.

Katanya, dalam serbuan terbabit, sebanyak 1,369 guni seberat 2,379 tan mengandungi pelbagai jenis logam seperti besi, timah, tembaga, komponen automotif, elektronik dan plastik dirampas.

“Turut dirampas, 47 jentera dan mesin pemprosesan pelbagai jenis, 28 pallet seberat 22.4 tan mengandungi muatan pelbagai jenis logam besi, timah, tembaga, komponen automotif, elektronik dan plastik dan 41 tan square tank dengan muatan komponen automotif dan serbuk besi.

“Selain itu, barangan lain yang dirampas ialah 55 tan longgokan besi dan komponen automotif, 10 tong gas, tiga telefon bimbit, dua tungku besi, satu ketuhar pembakar besi dan satu raga aluminium berisi komponen automotif seberat dua tan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kumar, kesemua barangan rampasan bernilai RM71.52 juta itu diserahkan kepada JAS Johor untuk siasatan lanjut.

Katanya, dua lelaki warga asing berusia 33 dan 35 tahun dipercayai pekerja premis terbabit ditahan ketika serbuan dilakukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 18 (1),19 dan 34 (A)(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Undang-undang kecil 3(1) dan 50(1) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBJB 2016. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN