KUALA TERENGGANU: Seorang penternak kerbau yang diserang beruang Khamis lalu menyifatkan kejadian tersebut sebagai mimpi paling ngeri dalam hidupnya namun bersyukur kerana masih dipanjangkan umur.
Nik Azehar Daud, 40, berkata, serangan di ladang sawit di Kampung Telembuh, Jerangau Sungai, Dungun, dekat sini itu berlaku tiba-tiba ketika dia sedang memantau pergerakan kerbau ternakannya.
Katanya, ketika kejadian, dia sedang membawa lebih 50 kerbaunya itu kembali ke arah ladang sawit agar tidak mendekati kawasan pagar Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).
“Tiba-tiba, saya diterkam beruang dari arah belakang. Sakitnya hanya Allah SWT sahaja yang tahu namun pada masa sama saya dapat mencapai parang dan menetak beruang tersebut.
“Selepas beruang itu lari, saya menghubungi abang saya yang berada di sekitar kawasan hutan dekat ladang sawit yang kemudian datang bersama rakannya untuk membawa saya ke hospital.
“Saya hanya mampu mengucap dan beristighfar mengingat kematian kerana kecederaan terlalu parah akibat serangan haiwan liar itu,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.
Ketika ini, keadaan kesihatan bapa kepada empat anak itu semakin stabil selepas menerima beberapa jahitan pada bahagian betis, lengan, tangan dan belakang leher.
Menurut Nik Azehar, sebelum ini, dia pernah mengesan beberapa tapak kaki beruang di sekitar kawasan tersebut namun tidak melaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memandangkan lokasinya berdekatan hutan tebal.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya sedang memantau kawasan tersebut dan buat masa ini tiada keperluan memasang perangkap di kawasan itu kerana berdasarkan siasatan, tempat serangan berada dalam kawasan hutan simpan. – UTUSAN











