KUALA LUMPUR: Atlet Muay Thai negara, Johan Ghazali, bersyukur dipilih menjadi satu-satunya duta bukan kalangan selebriti bagi jenama Bulan Bintang tahun ini.
Jelas Johan yang lebih mesra disapa Jojo, dia berhasrat membawa jenama pakaian tersebut ketika bertanding di perlawanan antarabangsa.
“Saya bukan selebriti baik pelakon atau penyanyi. Saya seorang fighter jadi maafkan jika tingkah laku dan wajah saya disalah anggap. Saya agak kekok.
“Perlantikan ini sangat penting kerana saya selalu memakai pakaian bangsa Malaysia di perlawanan antarabangsa.
“Sebelum perlawanan saya akan mengenakan baju Melayu di sesi temu ramah untuk tunjuk tradisi kita,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambahnya lagi, semangat dan prinsip jenama itu juga selari dengan pendiriannya yang tidak cepat mengalah.
“Bila dengar perjalanan pemilik jenama tersebut, Azzim Zahid Azim, saya rasa terinspirasi.
“Bermula dari jualan di Uptown Danau Kota hingga berkolaborasi dengan jenama besar. Ini menunjukkan dia ada semangat juang yang tinggi.
“Sikap tidak berputus asa ini penting sama seperti saya seorang fighter. Saya bersyukur dipilih menjadi sebahagian daripasa jenama ini,” jelasnya.
Dengan peruntukan kempen raya sebanyak RM15 juta, Bulan Bintang turut melantik beberapa artis sebagai duta seperti Zahiril Adzim, Datuk Remy Ishak, Shukri Yahya, Syafiq Kyle, Nadhir Nasar, Mierul Aiman dan Datuk Rosyam Nor.