HULU TERENGGANU: Destinasi pelancongan Pulau Petang Tasik Kenyir, di sini yangterbiar sejak empat tahun lalu akan dibaik pulih membabitkan peruntukan sebanyak RM16 juta.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerja-kerja pembaikan dijadualkan bermula pertengahan tahun ini yang mengambil masa antara lapan bulan hingga setahun.
“Peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Ekonomi telah diterima akhir tahun lepas. Sekarang ini, kita dalam proses melantik kontraktor. Kerja-kerja baik pulih bakal dilakukan nanti turut melibatkan resort penginapan serta jambatan ke Santuari Kelah. Kita juga rancang untuk tanam pokok buah-buahan seperti Musang King dan ciku.
“Sebenarnya saya dukacita kerana banyak projek dibangunkan di Tasik Kenyir sebelum ini dibiarkan begitu sahaja sehingga rosak,” katanya kepada pemberita di Sungai Petang, hari ini.
Terdahulu, beliau meninjau keadaan terkini Petang Island Resort di Sungai Petang sebelum ke Pulau Bayas.
Ditanya berhubung kerjasama antara Ketengah dengan kerajaan negeri, Ahmad berkata, kerajaan negeri perlu membangunkan kawasan pelancongan di Tasik Kenyir sekiranya mempunyai peruntukan.
“Walaupun Tasik Kenyir di bawah kawasan Ketengah, tetapi tuan tanah adalah kerajaan negeri dan punyai kuasa penuh,” ujarnya. – UTUSAN