PETALING JAYA: Penetapan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan terhadap pekerja asing sebanyak dua peratus memberi kelegaan kewangan yang besar kepada perniagaan, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang masih bergelut dengan isu aliran tunai disebabkan cabaran ekonomi.
Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, penetapan itu akan mengurangkan potensi kos caruman KWSP majikan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada kos potensi yang mungkin ditanggung.
“MEF menyokong keputusan berkenaan caruman KWSP majikan sebanyak dua peratus walaupun MEF sedar sepenuhnya bahawa ia akan memberi kesan kepada kos operasi.
“Walau bagaimanapun, ini adalah pilihan terbaik yang ada buat masa ini dan ia lebih baik berbanding kadar caruman statutori majikan sebanyak 12 peratus atau 13 peratus bergantung kepada tahap gaji pekerja asing.
“Peningkatan kadar caruman KWSP pada masa hadapan boleh dilakukan selepas pelbagai kajian dijalankan dan setelah berunding dengan pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin, kerajaan memutuskan caruman KWSP sebanyak dua peratus kepada pekerja asing di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar yang sangat rendah itu diyakini tidak membebankan majikan.
Syed Hussain berkata, penetapan caruman KWSP majikan sebanyak dua peratus itu akan membantu perniagaan mengekalkan bakat pekerja dan mengelakkan pengecilan saiz tenaga kerja.
“Namun, perlu diambil perhatian bahawa kadar caruman KWSP majikan sebanyak dua peratus ini dibuat untuk menangani cabaran ekonomi semasa yang mendesak.
“Memandangkan kerajaan telah menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan, ia menjadi satu cabaran kepada banyak majikan yang menggaji pekerja asing untuk menanggung kenaikan gaji sebanyak RM200, di samping membayar caruman KWSP untuk mereka termasuk ekspatriat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan caruman KWSP itu bergantung kepada bagaimana ia dilaksanakan dan sama ada ia disertakan dengan langkah-langkah lain untuk mengurangkan kesan negatif yang berpotensi terhadap majikan, pekerja bukan warganegara, dan kerajaan. – UTUSAN










