PM, isteri ucap takziah mangsa kebakaran Umbai

PM, isteri ucap takziah mangsa kebakaran Umbai

ADAM ADLI Abdul Halim menziarahi Muhammad Khairuddin Sa’arin di Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kisah pilu Muhammad Khairuddin Sa’arin yang kehilangan isteri dan empat anak dalam tragedi kebakaran di Umbai, Melaka pada Khamis lalu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail me­ngucapkan takziah serta rasa dukacita terhadap kejadian yang meragut lima nyawa di Kampung Berangan Enam.

Ucapan takziah itu disampaikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim ketika menziarahi Muhammad Khairuddin.

Muhammad Khairuddin me­rupakan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu.

Adam Adli menghubungi Dr. Wan Azizah yang kemudiannya berbual dengan Muhammad Khairuddin menerusi panggilan telefon.

Dalam perbualan itu, Dr. Wan Azizah menzahirkan rasa simpati dan mengingatkannya agar tabah menghadapi ujian tersebut.

“Reda ya, semua kita pinjaman, tolong ya. Reda, Allah tidak akan uji kita lebih daripada kita boleh tahan, kuatkan semangat,” katanya.

Nahas itu meragut nyawa Laila Fathinah Mustapa, 35, yang hamil lima bulan serta empat anak mereka iaitu Nur Damia Batrisyia, 13; Izz Daffa, 7; Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4.

Muhammad Khairuddin, 35, terselamat selepas berjaya keluar menerusi tingkap dengan dibantu jiran-jiran, walaupun mengalami patah kaki kanan akibat kemalangan jalan raya hujung bulan lalu.

Jenazah lima beranak itu masih menjalani proses bedah siasat serta ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di Hospital Jasin dan dijangka boleh dituntut waris minggu depan.

Sementara itu, Adam Adli turut menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Khairuddin dan berharap mangsa terus tabah menghadapi dugaan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN