KUALA TERENGGANU: “Sumbangan ini sangat dihargai kerana saya belum membuat sebarang persediaan menjelang sesi persekolahan bermula Ahad ini.”
Demikian kata Amiruddin Abdul Karim, 65, selepas anak saudaranya menjadi antara 200 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang menerima sumbangan Petronas menerusi program Kembali Ke Sekolah 2025 di sini, semalam.
Amiruddin berkata, ketika ini dia mencari rezeki sebagai pencari kotak terpakai dan pembantu kedai makan, namun jumlah pendapatan diperoleh tidak mencukupi kerana dia menjaga empat anak saudaranya yang masih bersekolah selain ibu yang uzur.
“Memang bersyukur sangat apabila guru memaklumkan anak saudara, Muhammad Khawarizmi Muhammad Harris, 12, terpilih sebagai penerima dalam program ini.
“Alhamdulillah, anak saudara saya, Muhammad Khawarizmi Muhammad Harris, 12, mendapat pakaian seragam, kasut, beg dan peralatan sekolah daripada Petronas.
“Selain itu, dia mendapat sepasang pakaian sukan berupa kemeja-T berkolar, seluar sukan, bekas makanan serta botol minuman,” katanya semalam.
Menurut Amiruddin, dia tinggal di rumah pusaka keluarga dan menjaga empat anak saudaranya itu memandangkan ibu bapa mereka sudah bercerai.
“Mujurlah saya menerima bantuan sara hidup daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM3,000 setahun dan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM800.
“Duit itu saya gunakan untuk membesarkan mereka dan menjaga ibu yang sakit. Sumbangan Petronas memang sangat dihargai dan saya berharap anak saudara dapat belajar dengan selesa menggunakan semua barangan yang diterima,” katanya. – UTUSAN










