Permohonan hina mahkamah Tun Mahathir didengar 16 April

Permohonan hina mahkamah Tun Mahathir didengar 16 April

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar mahkamah mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan didengar pada 16 April ini.

Pada 7 Januari lalu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri telah diberikan kebenaran oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk memulakan prosiding hina mahkamah itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr. Mahathir ketika dihubungi media selepas tamat pengurusan kes tersebut  di sini hari ini.

Ahmad Zahid memfailkan permohonan komital itu berkait dengan sidang akhbar oleh Dr. Mahathir  pada 5 Disember 2024 selepas selesai memberi keterangan dalam kes saman fitnahnya terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berhubung isu `kutty’.

Pada sidang akhbar itu, Dr. Mahathir antara lain menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalan beliau.

Dr. Mahathir dalam afidavit jawapannya berhubung permohonan menghina mahkamah itu menyatakan permohonan tersebut adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dan percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara beliau.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga menyatakan tindakan tersebut adalah bagi melengahkan perbicaraan kes saman fitnahnya terhadap Ahmad Zahid. Presiden Umno itu dijadualkan untuk memberi keterangan berhubung kes saman fitnah itu pada 14 Mei ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan kes saman yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr. Mahathir mendakwa Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr. Mahathir percaya, individu yang dirujuk Presiden UMNO selaku defendan, dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia, dipandang serong.

Dr. Mahathir juga mendakwa, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan, dipersoal dan diragui. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN