Peraturan baharu tidak jejas jemaah haji Malaysia

Peraturan baharu tidak jejas jemaah haji Malaysia

NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk tidak membenarkan kanak-kanak menyertai jemaah haji tidak memberi kesan kepada jemaah Malaysia.

Ini kerana Tabung Haji (TH) telah menetapkan syarat umur minimum iaitu bermula 15 tahun (umur baligh) bagi menunaikan ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, syarat ini sudah lama dilaksanakan oleh TH dan selari dengan peraturan baharu Arab Saudi yang bertujuan menangani isu kesesakan serta memastikan keselamatan jemaah.

“Peraturan baharu Kerajaan Arab Saudi ini tidak memberi kesan kepada jemaah haji negara kita kerana TH telah menetapkan umur minima iaitu bermula 15 tahun (umur baligh) bagi menunaikan haji.

“Syarat umur minimum ini bukan sahaja membantu mengurangkan kesesakan tetapi memastikan jemaah yang menunaikan haji telah bersedia dari segi fizikal dan mental,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kanak-kanak tidak lagi dibenarkan menyertai jemaah haji bermula musim haji tahun ini.

Langkah ini diambil untuk mengatasi masalah kesesakan dan memastikan keselamatan golongan tersebut daripada risiko bahaya akibat kesesakan melampau selain menjamin keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA), Dr. Fathir Badri Alhadad berkata, langkah yang diambil oleh Kerajaan Arab Saudi adalah keputusan yang tepat.

Katanya, keadaan di tanah suci yang sesak dengan kehadiran jutaan jemaah dari seluruh dunia boleh meningkatkan risiko penularan penyakit, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

“Langkah Arab Saudi tidak membenarkan kanak-kanak menunaikan haji pada tahun ini dianggap tepat memandangkan keadaan di sana terlalu ramai jemaah dari pelbagai negara.

“Selain daripada syarat wajib haji yang masih tidak terikat pada mereka (kanak-kanak), ia juga dapat mengekang sebarang penyakit yang mudah berjangkit,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu turut menyumbang kepada kelancaran perjalanan ibadah haji dan memastikan keselamatan serta kesihatan para jemaah.

Media sebelum ini melaporkan, Arab Saudi mengumumkan perubahan dasar visa yang mengehadkan pengembara dari 14 negara kepada visa kemasukan tunggal bagi pelancongan, perniagaan dan lawatan keluarga bermula 1 Februari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN