KUALA LUMPUR: Penghijrahan bakat profesional tempatan membantu mereka mengasah dan meningkat kemahiran seterusnya menyumbang kepada pengukuhan industri negara pada masa depan.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, penghijrahan itu sebenarnya membantu dalam meningkatkan kemahiran bakat tempatan.
Katanya, tiada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, dan terus menetap di sana, sebaliknya akan pulang ke tanah air untuk menyumbang kemahiran demi kepentingan negara.
“Penghijrahan itu tidak menyebabkan ekonomi Malaysia terbantut, sebaliknya membolehkan bakat tempatan kita mempelajari banyak perkara baharu yang boleh dibawa balik ke Malaysia dan ini merupakani satu bentuk pelaburan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang dilaporkan berkata, kualiti pendidikan negara bertaraf tinggi dan sering mendapat pengiktirafan dalam peringkat antarabangsa, menyebabkan banyak syarikat global mahu mengupah perkhidmatan golongan bakat profesional dari Malaysia.
Barjoyai berkata, sekiranya negara mahu bakat profesional terus berada dalam negara, peluang yang disediakan perlu setanding seperti ditawarkan di luar negara.
“Ramai jadi penganggur sebab tidak mendapat peluang pekerjaan sesuai, selain ada yang terpaksa bermula dengan kerjaya tidak selari dengan kelayakan. Ini menyebabkan bakat profesional kita beranggapan mereka terpinggir dan di negara sendiri walaupun Malaysia mengalami kadar pertumbuhan yang pesat,” katanya.
Barjoyai berkata, pendapatan lumayan diperoleh bakat profesional tempatan turut membantu menjana ekonomi bagi peniaga-peniaga di dalam negara termasuk kesejahteraan hidup ahli keluarga.
Katanya, sebagai contoh sebahagian besar dari pekerja asing menghantar pulang pendapatan mereka ke negara asal bagi membantu ekonomi dan ahli keluarga di sana.
“Kalau kita melawat kampung-kampung pendalaman di Indonesia, kita boleh lihat ramai dari mereka mempunyai rumah yang besar dan menjadi kaya-raya hanya disebabkan mereka sebelum ini bekerja di Malaysia.
“Ini berlaku apabila mereka menghantar dan membawa balik pendapatan yang diperoleh di Malaysia. Keadaan ini sama dengan rakyat kita yang bekerja di luar negara, mereka melabur pendapatan di sini lalu sekaligus menjana ekonomi.
“Antara contoh lain, sebahagian besar dari 300,000 rakyat kita yang bekerja di Singapura membeli rumah di Johor Bharu. Ini menandakan mereka membawa balik pendapatan dari luar negara,” katanya.










