Pelajar cemerlang maut dalam nahas enam kenderaan

Pelajar cemerlang maut dalam nahas enam kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Seorang penunggang motosikal maut manakala beberapa lagi cedera selepas sebuah Perodua Alza hilang kawalan dan merempuh lima kenderaan lain di Jalan Hulu Langat-Ampang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.45 petang ketika empat motosikal dan sebuah kereta sedang bergerak dari Hulu Langat ke Ampang.

“Siasatan awal mendapati, sebuah Perodua Alza dari arah Ampang tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kelima-lima kenderaan berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, seorang penunggang motosikal tercampak ke tepi jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Naazron, mangsa yang maut adalah seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun, manakala lima lagi individu yang cedera telah dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, pemandu kedua-dua kereta yang terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, pihaknya telah menahan pemandu Perodua Alza yang berusia 27 tahun untuk siasatan lanjut dan permohonan reman akan dibuat hari ini.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan semua kenderaan yang terlibat telah dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) serta Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115 bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Aysar Zahran Saiful Alimin, seorang pelajar cemerlang yang merupakan penerima biasiswa MyPAC-Maybank Islamic Berhad bagi program ACCA-FIA di TYMBA Education.

TYMBA dalam satu hantaran di Facebook menyifatkan pemergian Aysar sebagai satu kehilangan besar kerana beliau pernah meraih tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) dalam peperiksaan FIA pada Disember 2023.

“Pencapaian luar biasa Aysar amat membanggakan kami. Komitmen dan kecemerlangannya akan sentiasa dikenang. Takziah buat keluarga beliau serta mentornya,” menurut hantaran itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN