KLANG: Sebanyak 15 juta kontena bersamaan 20 kaki (TEU) disasarkan untuk dikendalikan di Pelabuhan Klang pada tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sasaran itu meningkat sebanyak 2.3 peratus selepas berjaya mengendalikan 14.64 juta TEU sebelum ini.
Menurut beliau, ia menyumbang sekitar 47.7 peratus daripada 30.68 juta TEU keseluruhan pengendalian kontena di negara ini.
“Ini adalah pencapaian tertinggi dan bersejarah di Pelabuhan Klang sejak pelabuhan memulakan operasi kontena pada 1973.
“Sasaran itu antaranya disokong menerusi pertumbuhan positif ekonomi domestik, pembangunan projek infrastruktur dan pertumbuhan kargo seperti sektor pembuatan serta logistik,” katanya ketika berucap melancarkan Malaysia Maritime Single Window (MMSW) di sini, hari ini.
Jelas Anthony Loke, beliau difahamkan Pelabuhan Klang berkemungkinan akan naik ke tempat ke-10 di Liga Pelabuhan Kontena Sedunia.
“Walaupun ranking rasmi akan diumumkan dalam beberapa bulan lagi, pesaing lain seperti Rotterdam dan Hong Kong telah mengumumkan pengendalian kontena yang kurang daripada Pelabuhan Klang.
“Selain itu, Pelabuhan Tanjung Pelepas dijangka meningkat ke tempat ke-13 selepas mencatatkan pengendalian 12.2 juta TEU pada 2024,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan fasa dua projek pembesaran terminal kontena Westports Holdings Bhd. atau Westports 2 merupakan langkah penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai hab maritim dan logistik global pada masa depan.
“Ia dapat menggandakan kapasiti pengendalian kontena Pelabuhan Klang kepada 34 juta TEU (berbanding 20 juta TEU yang sedia ada),” katanya. – UTUSAN