Pegawai SPRM dilantik Ketua Unit Integriti semua kementerian

Pegawai SPRM dilantik Ketua Unit Integriti semua kementerian

Azam Baki melancarkan Stategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menempatkan pegawainya di semua kementerian sebagai Ketua Unit Integriti (KUI).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu telah dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional Siri 3 Bil. 3 Tahun 2024 dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar baru-baru ini.

Beliau berkata, penempatan itu bertujuan mengatasi kesukaran kementerian dalam mengendalikan isu tatakelola di kementerian masing-masing apabila ketua unitnya bukan daripada SPRM.

“Pegawai SPRM yang ditempatkan di kementerian adalah pegawai yang mempunyai pensijilan ataupun diiktiraf sebagai pegawai integriti bertauliah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Katanya, penempatan pegawai ini akan dilaksanakan Ja­batan Perkhidmatan Awam secara berfasa.

Dalam pada itu, Azam berkata, sebanyak 62 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menu­buhkan unit integriti masing-masing manakala 84 PBT telah melantik pegawai perantara.

Selain itu, katanya, SPRM te­lah membuka 107 kertas penyiasatan tatakelola pada tahun lalu dengan 69 penambahbaikan te­lah dibentangkan.

“Kami turut mengemukakan syor dan cadangan penambahbaikan tatakelola pada 2024,” katanya.

Pada majlis sama, Azam turut melancarkan papan pemuka Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang diba­ngunkan bagi membolehkan orang ramai memantau kemajuan setiap substrategi di bawah tanggungjawab kesemua 19 Ke­tua Agensi Peneraju.

“Ia membolehkan orang ramai mengetahui mana-mana substrategi yang telah diselesaikan di bawah NACS, output, ringkasan dan keberkesanannya sama ada melalui penemuan kajian, dasar atau aspek undang-undang,” katanya.

Papan pemuka NACS itu boleh dilayari di https://dnacs.sprm.gov.my.

Sementara itu, tiga selebriti tanah air iaitu Ziana Zain, Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor selesai memberi keterangan kepada SPRM semalam bagi membantu siasatan berkaitan Op Sky.

Mereka dilihat meninggalkan Ibu Pejabat SPRM sekitar pukul 3 petang dengan kenderaan masing-masing.

Terdahulu, tiga selebriti itu memberi keterangan lebih lima jam kepada SPRM bermula pukul 10 pagi.

Ketiga-ketiga mereka dipanggil SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan yang ditumpaskan menerusi Op Sky.

Usaha mendapatkan kenya­taan ketiga-tiga selebriti itu gagal kerana mereka tidak memberhentikan kenderaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×